London: Seorang kanak-kanak lelaki di United Kingdom (UK) tidak sengaja menemui khazanah berharga iaitu fosil karang tanduk berusia 488 juta tahun ketika menggali tanah di laman kediamannya.
BBC melaporkan, Siddak Singh tidak tahu rangka yang ditemuinya itu adalah fosil.
Namun, ayahnya, Vish Singh berusaha mendapatkan kepastian daripada kumpulan pakar di Facebook (Fb) yang arif dan ternyata ia adalah fosil berusia ratusan juta tahun.
“Pada hari itu, saya ke laman dan hobi saya adalah menggali tanah untuk mencari cacing dan barang seperti tembikar.
“Entah bagaimana, saya terjumpa rangka seperti tanduk dan beranggapan ia adalah gigi, kuku atau sekadar tanduk biasa.
“Saya tunjukkan benda itu pada ayah sebelum diberitahu ia adalah fosil,” katanya.
Sementara itu, Vish mengakui terkejut dengan penemuan anaknya itu.
“Kami terkejut Siddak menemui sesuatu yang kelihatan ganjil di dalam tanah iaitu karang tanduk dan beberapa kepingan kecil di sebelahnya.
“Keesokan harinya, dia pergi menggali lagi dan menemui ketulan tanah,” katanya.
Penemuan ini mengejutkan dua beranak itu kerana mereka bukan tinggal di tempat yang fosil lazimnya ditemui. Pemeriksaan lanjut mendapati fosil itu adalah karang Rugosa yang wujud antara 251 hingga 488 juta tahun.
Menurut Singh, fosil itu adalah milik zaman Paleozoik.
“England pada masa itu adalah sebahagian dari Pangea, sebuah daratan benua besar dan ketika itu ia berada di bawah laut,” kata Vish.
Sumber: My Metro