Budak Tiga Tahun Hilang, Dikhuatiri Lemas

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

GUA MUSANG – Seorang kanak-kanak lelaki Orang Asli dipercayai lemas selepas dihanyutkan arus Sungai Brooke di Kampung Teluk Untung, Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis, di sini pada Selasa.

Dalam kejadian pada jam 11 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Simon, 3, bermain di kawasan rumahnya sebelum disedari hilang oleh ibunya, Aini Sarip, 26.

Menurut Aini, ketika kejadian dia sedang mencuci pinggan mangkuk dan anaknya bermain di luar rumah seorang diri.

Katanya, dia tidak sedap hati selepas tidak mendengar suara anaknya di halaman rumah dan segera mencarinya.

“Lepas dia main-main saya dengar tak ada dah suara dia. Saya cari saya tengok hilang dah. Saya ambil kunci turun bawah, lepas tu saya tanya bawah kat mana anak saya.”

“Saya jumpa dua orang budak dia cakap Simon dah hanyut dah. Lepas itu saya terkejut, teriak semua orang, saya cari-cari tak ada jumpa dah,” katanya.

Tambah Aini, dia hanya mampu menangis dan berteriak memanggil jiran sebelum usaha mencari Simon dijalankan. Sebelum ini anak bongsu daripada dua beradik itu tidak pernah mandi di sungai berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya, operasi mencari mangsa telah digerakkan oleh pihak polis dengan bantuan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung Orang Asli.

Sumber: AWANI