KEINGINAN untuk hidup berpasangan merupakan salah satu fitrah yang telah Allah ciptakan ke atas manusia. Perkahwinan dan kehidupan yang bahagia selamanya merupakan harapan kedua pasangan sewaktu terlafaznya akad ikatan yang suci.
Setiap pasangan mengimpikan kesejahteraan kehidupan yang harmoni dan jauh daripada pergaduhan apatah lagi berakhir dengan perceraian.
Apabila berlaku perselisihan faham antara suami isteri maka syarak menggalakkan agar suami dan isteri tahammul (bertahan) tetapi apabila melibatkan soal hati dan perasaan yang dipendam, bukan semua manusia mampu bertahan dan bersabar.
Mutakhir ini, kita dapat lihat fenomena membuka aib pasangan secara terang-terangan sudah menjadi barah dalam masyarakat kita tanpa ada perasaan bersalah atau malu dengan apa yang mereka lakukan. Lagi-lagi hari ini penyebaran aib makin meluas dengan menggunakan teknologi serba canggih.
Terdapat di dalam sebuah hadis yang meminta supaya kita menutup keaiban sendiri ataupun orang lain. Sabda Baginda Rasulullah:
Wahai sekalian manusia yang beriman dengan lidahnya, (namun) belum masuk iman ke dalam hatinya. Janganlah engkau kamu mengumpat orang-orang Islam dan jangan membuka aib mereka, (kerana) sesungguhnya orang yang membuka aib saudaranya yang muslim, maka Allah akan membuka aibnya. Dan siapa yang aibnya dibuka Allah, maka Dia akan membukanya sekalipun di dalam rumahnya. [HR Tirmizi 1955]
Hadis ini menuntut kita supaya menyembunyikan aib sendiri dan menutup keaiban orang lain kerana boleh jadi suatu hari nanti sang pendosa akan menjadi orang yang baik bahkan lebih baik daripada kita yang mencela.
Aib pasangan adalah perkara yang tidak boleh dibuka atau disebarkan kepada orang lain sewenang-wenangnya. Umat Islam juga dilarang membuka aib pihak lain walaupun dianggap sebagai musuh dan tidak disukainya.
Hari ini ada pasangan yang menggunakan internet untuk menceritakan keburukan pasangannya. Perbuatan ini merupakan perbuatan yang ditegah dan dilarang di dalam Islam melainkan kita menggunakan saluran yang betul seperti mana kata Imam Nawawi dalam menceritakan perihal seseorang khususnya suami isteri dibenarkan seperti berikut:
1. Membuat aduan apabila dizalimi kepada sultan atau hakim.
2. Menceritakan kepada mufti bagi tujuan fatwa.
Perbuatan menyebarkan aib pasangan berlaku dalam pelbagai bentuk. Ada menjaja kisah keruntuhan rumah tangga, merakam video, menyebar gambar mengaibkan pasangan.
Bahkan kebebasan dalam media sosial juga menyaksikan pasangan tanpa segan-silu menandakan nama pasangan atau tag di post-post yang berkaitan yang mana tanpa kita sedar telah membuka aib pasangan.
Maka kepada pasangan suami isteri yang melakukan perbuatan terkutuk menyebarkan aib pasangan harus memikirkan keadaannya pada hari kiamat kelak kerana pada hari itu Allah akan bertanyakan mengenai perbuatan mereka itu.
Dalam Al-Quran, Allah berfirman di dalam Surah Al-Baqarah ayat ke 187: Mereka (isteri-isterimu) merupakan pakaian bagimu dan kamu merupakan pakaian bagi mereka.
Ayat itu mengisyaratkan, suami atau isteri adalah pakaian yang sepatutnya dijaga dengan cermat dan menutupi hal peribadi agar tidak diketahui orang lain. Jika seorang suami atau isteri mudah mendedahkan aib pasangannya, tanpa sedar mereka membiarkan diri seolah-olah tanpa berpakaian.
Sepatutnya, suami dan isteri perlu saling menjaga kekurangan diri kerana di sebalik kekurangan itulah yang akan melengkapkan kehidupan antara dua insan yang dihalalkan melalui perkahwinan.
Berpandukan sebuah hadis, daripada Abu Sa’id al-Khudriy, beliau berkata bahawa Baginda Rasulullah bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya manusia yang paling jelik kedudukannya pada hari kiamat adalah seorang lelaki (suami) yang bercampur (bersetubuh) dengan isterinya, kemudian menyebarkan rahsia isterinya tersebut. [HR Muslim 1437]
Walaupun yang dimaksudkan ayat itu adalah suami, tidak bererti isteri bebas mendedahkan aib pasangannya kepada orang lain.
Buat pasangan suami isteri yang sedang dalam menghadapi masalah, berbincanglah dengan penuh kedamaian. Waspadalah dalam memuat naik apa-apa status di media sosial kerana ia bukanlah medium untuk meluahkan perasaan bahkan ia boleh menjadi satu tempat tercetusnya masalah yang lebih besar.
Ia hanya membuka ruang untuk netizen dan orang luar menghakimi rumahtangga kita sedangkan apa yang mereka tahu hanyalah sejengkal daripada keseluruhan cerita.
Berwuduk dan solatlah dua rakaat untuk memohon ketenangan daripada Allah kerana hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Minta petunjuk Allah dan jalan penyelesaian dariNya. Luahkanlah kepada Allah sama ada kecewa atau marah.
Diceritakan bahawa Baginda Rasulullah tertekan oleh sesuatu urusan, maka Baginda akan mengerjakan solat. [HR Abu Daud 1124]
Kepada para suami jadilah qudwah dihadapan isteri dan sentiasa dekatkan diri kepada Allah. Ini kerana isteri dan anak-anak merupakan satu amanah yang sangat besar.
Kepada para isteri jadikanlah diri sebagai seorang isteri yang solehah dalam memelihara maruah suami dan anak-anak. Ini kerana kehebatan seorang suami disebabkan oleh seorang isteri yang sentiasa di samping keluarga.
Sumber: mStar