Bukan langgar SOP, tapi ganggu jemaah…

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Georgetown: Orang ramai diminta supaya berhenti menyebarkan berita tidak benar mengenai penahanan lelaki di Masjid At-Taqwa, Gelugor, di sini, kelmarin.

Ia susulan video mengenai penahanan lelaki berkenaan yang tular di media sosial dan dikaitkan dengan kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP).

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, menerusi pemerhatian polis di media sosial, terdapat maklum balas netizen yang mendakwa lelaki terbabit ditahan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, atas kesalahan melanggar SOP di masjid.

“Ia tidak benar kerana lelaki berusia 35 tahun itu ditahan berikutan mengganggu jemaah menunaikan solat selain membawa sebilah pisau.

“Orang ramai dinasihati supaya tidak menyebar dan menularkan kenyataan yang tidak benar mengenai kes ini,” katanya di sini, semalam.

Terdahulu lelaki yang memakai baju Melayu berwarna hijau itu dilaporkan berlegar-legar di dalam masjid dengan memegang pisau sambil mengganggu jemaah pada 8.25 malam.

Pemeriksaan pada beg sandang suspek menemukan pisau berukuran 13 sentimeter.

Suspek yang ditahan sudah direman selama tiga hari sehingga esok dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Sumber: My Metro