KEBERSIHAN bantal jarang diberi perhatian meskipun sebenarnya ia adalah tempat pengumpulan kuman dan bakteria tanpa kita sedari.
Sekurang-kurangnya bantal perlu dicuci setiap enam bulan sekali bagi memastikan ia dapat bertahan lebih lama.
Bantal diperbuat daripada pelbagai jenis bahan termasuk bulu angsa, kekabu, polister atau lateks.
Cara membersihkan bantal menggunakan tiga bahan itu juga berbeza kerana ada yang boleh dimasukkan ke dalam mesin basuh dan ada perlu dicuci dengan tangan atau cucian kering.
1. Bantal polister dan bulu angsa
Kebanyakan bantal yang diperbuat menggunakan bahan polister dan bulu angsa mesra mesin basuh.
Bagaimanapun pastikan anda mencuci satu atau dua bantal (bergantung kepada saiz mesin basuh) dalam satu-satu masa bagi memastikan ia dicuci dengan baik.
Gunakan hanya sedikit serbuk pencuci. Sebaik-baiknya, gunakan air suam ketika mencuci serta ulang proses membilas sebanyak dua kali.
Pastikan bantal dijemur dibawah sinaran matahari bagi membolehkan ia betul-betul kering dan tidak meninggalkan bau hapak.
2. Bantal lateks dan kekabu
Dua jenis bantal ini tidak sesuai dicuci menggunakan mesin basuh dan perlu mencuci menggunakan tangan atau cucian kering.
Untuk menghilangkan debu dan kotoran, gunakan vakum atau masukkan bantal ke dalam mesin pengering tanpa menambah suhu panas selama 20 minit.
Sekiranya kotoran setempat, ambil kain dan bersihkan kawasan yang kotor sahaja menggunakan sedikit sabun. Bilas dengan kain lembab sebelum dikeringkan.
Sumber: mStar