‘Bukan Mudah Main 10 Orang’

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Selangor, Nidzam Jamil mengakui bukan mudah untuk pasukannya bertahan dengan 10 pemain sebelum meraih kemenangan 2-1 ke atas Perak dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, semalam.

Gergasi Merah yang mendahului 2-0 pada babak pertama terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas tonggak tengah, Alex Agyarkwa dilayangkan kad merah pada minit ke-64.

Justeru, Nidzam memuji komitmen dan semangat juang pemainnya apabila mampu bertahan lebih 30 minit selepas ketiadaan Agyarkwa untuk meraih kemenangan walaupun dibolos menerusi jaringan Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar pada minit ke-78.

Pengendali berusia 44 tahun itu tidak kecewa apabila gawang Selangor bolos buat kali pertama musim ini sambil menganggap ia perkara biasa yang berlaku dalam bola sepak.

“Bukan mudah bermain dengan 10 pemain dan kalau pasukan lawan (beraksi) 10 pemain juga pun, bukan mudah untuk kita menentang 10 orang. Kami di pihak yang kekurangan seorang pemain, tapi 30 minit itu adalah mengenai komitmen dan jati diri untuk menang perlawanan ini.

“Dalam bola sepak, awal atau kemudian, memang kita akan dibolosi gol, kami tahu. Ini bola sepak susah anda nak cakap mahu bertahan tanpa bolos, hari seperti ini akan tiba.

“Namun, seperti saya katakan apabila bermain dengan 10 pemain, kena (bolos) satu gol, tapi komitmen (pemain) yang saya suka,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Kemenangan itu menyaksikan Selangor mengekalkan rekod kemenangan bersih dalam empat aksi berturut-turut di gelanggang sendiri termasuk tiga perlawanan Liga Super dan satu Piala FA.

Kejayaan menundukkan Perak membolehkan Selangor memintas Terengganu dan Sabah untuk berada di kedudukan kedua liga dengan mengumpul sembilan mata, tiga mata di belakang pendahulu Johor Darul Ta’zim (JDT).

Selain itu, Nidzam tidak pasti sama ada layangan kad merah kepada Agyarkwa patut atau tidak sambil menjelaskan pasukannya akan membuat analisa mengenai insiden itu.

“Saya tak pasti, kami kena bincang semula. Tapi seterusnya mungkin kami kena persiapkan pasukan jika kami kena bermain dengan 10 pemain. Kami tak jangka bermain dengan 10 pemain, hari ini. Kalau tanya kad merah patut atau tidak, saya fikir saya tak berada pada tempat untuk menjawab, kita kena tunggu analisa,” katanya.

– BERITA HARIAN