RAMAI tahu dan sedar tentang bahaya merokok dan kesannya kepada kesihatan seperti kanser paru-paru, sakit jantung dan sebagainya.
Bagaimanapun tahukah anda bahawa perokok juga berisiko tinggi mengalami kerosakan mata?
Memetik kenyataan American Academy of Ophthalmology, terdapat beberapa bukti mengesahkan kenapa perokok berisiko tinggi mengalami kerosakan mata termasuklah;
1. Mata kering
Mata memerlukan lapisan air mata secukupnya sebagai pelicin yang bertindak untuk melembapkan mata supaya penglihatan berada dalam keadaan baik dan jelas.
Kebiasaannya, merokok akan menyebabkan mata kekurangan air mata yang membuatkan mata menjadi kering. Kesan daripada itu, ia akan menyebabkan kegatalan mata, kemerahan dan rasa kurang selesa di sekitar mata.
2. Uveitis
Uveitis adalah keradangan yang terjadi pada lapisan uvea iaitu menyebabkan seseorang berasa sakit dan bahagian anak mata menjadi kemerahan secara tiba-tiba.
Uveitis boleh menyebabkan gangguan penglihatan dan akan menjadi lebih kronik jika tidak dirawat.
3. Merosakkan saraf optik
Antara risiko dan kesan lain kepada mata adalah gangguan saraf optik yang bukan sahaja sebabkan gangguan penghilatan tetapi boleh menjadi buta.
Saraf ini yang menghubungkan mata ke otak.
4. Meningkatkan risiko katarak
Katarak merupakan penyakit mata di mana kanta mata menjadi kabur. Penyakit ini sering kali berlaku pada warga emas tetapi ia juga boleh berlaku kepada golongan perokok.
Simptom paling biasa katarak mata menjadi kabur dan membuatkan mata kekuningan.
5. Degenerasi makula
Degenerasi makula adalah sejenis penyakit yang menyebabkan penglihatan menjadi kabur dan sensitif terhadap cahaya. Hal ini menyebabkan retina menjadi rosak dan sukar diubati.
Kajian juga mendapati perokok adalah antara golongan berisiko mengalami penyakit ini.
Sumber: mStar