Bukan Satu Kemegahan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kepemimpinan adalah satu bentuk amanah yang penuh dengan tanggungjawab dan kewajipan. Ini selaras dengan kewajipan sebagai khalifah di atas muka bumi ini yang Allah kurniakan kepada manusia dengan misi membangun dan memakmurkan bumi yang terbentang luas ini.

Kepemimpinan itu bukanlah satu keistimewaan, sebaliknya adalah tanggung jawab yang cukup getir. Ia bukanlah satu kemegahan, tetapi satu pengorbanan. Ia juga bukannya kesenangan, tetapi kerja keras dan usaha bersungguh-sungguh.

Kepemimpinan adalah satu tindakan yang penuh dengan strategi dan perancangan. Pendek kata, kepemimpinan adalah wadah pembangunan, kemajuan, kesejahteraan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Perlu diinsafi, Islam menganggap bahawa setiap manusia sama ada lelaki mahupun perempuan secara umumnya adalah seorang pemimpin. Paling minimumnya ialah setiap orang pemimpin terhadap diri sendiri dan yang paling tinggi sekali ialah tanggungjawab seorang pemimpin terhadap rakyat.

Tanggungjawab yang terpikul di bahu setiap Muslim adalah berbeza antara satu sama lain. Semuanya bergantung kepada kuasa kepemimpinan yang diamanahkan kepadanya. Namun tanggung jawab terbesar yang akan dipertanggungjawabkan kelak pada hari Akhirat ialah tanggungjawab seorang pemimpin terhadap rakyatnya.

Rasulullah SAW pernah memberi peringatan kepada setiap pemimpin tentang tanggungjawab seorang pemimpin yang sebenarnya.

Rasulullah bersabda maksudnya: “Pemimpin yang menguasai urusan Muslimin, tetapi tidak bersungguh-sungguh memerhatikan kepentingan kaumnya, tidak nasihat- menasihati demi kebaikan dan kesejahteraan mereka, kelak dia tidak dapat masuk syurga bersama-sama mereka.” (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim).

Demikianlah betapa besar dan beratnya tanggungjawab seorang pemimpin yang diamanahkan Allah kepadanya kuasa kepemimpinan untuk menerajui rakyatnya ke arah kesejahteraan dan kebahagiaan abadi di dunia serta akhirat.

Pemimpin yang baik adalah seorang pemimpin yang sentiasa ingin berkhidmat dan berkorban demi kebahagiaan rakyat yang dipimpinnya dan tidak sekali-kali mengutamakan kepentingan dirinya, keluarganya mahupun kerabat terdekatnya.

Lebih daripada itu, Rasulullah pernah bersabda maksudnya: “Pemimpin sesuatu bangsa pada hakikatnya adalah pelayan bagi bangsa itu.” (Hadis Riwayat Abu Na’im & Ibnu Babuwaih)

Sehubungan itu, memadailah Rasulullah SAW dan Khulafa ar-Rasyidin sebagai contoh ikutan terbaik dalam konteks kepemimpinan yang unggul dalam lipatan sejarah Islam. Rasulullah SAW sendiri adalah seorang pemimpin yang amat mengambil berat kebajikan rakyatnya dan baginda sanggup berkorban demi kesejahteraan rakyatnya.

Pernah satu hari, Saidatina Aisyah kebingungan untuk menyediakan hidangan makanan. Di dapur hanya mempunyai segenggam gandum. Lalu, gandum yang sedikit itulah yang dimasaknya untuk hidangan bersama Rasulullah.

Tatkala Rasulullah hendak makan, tiba-tiba baginda didatangi seorang lelaki yang kurus kering tubuhnya dan pakaiannya kelihatan lusuh. Lelaki tersebut minta diberikan keluarganya makanan sedikit kerana dia dan keluarganya tidak memiliki apa-apa untuk dimakan.

Rasulullah hanya terdiam dan baginda tidak tahu bagaimana dia perlu menjawab kerana baginda sendiri pun tidak memiliki apa-apa. Akhirnya baginda berkata: “Wahai saudaraku! Aku pun hari ini tidak mempunyai apa-apa untuk dimakan kecuali sekeping roti bakar. Namun, kalau kamu mahu menerimanya, dengan senang hati akan aku berikan kepadamu.”

Saidatina Aisyah tidak senang hati kerana tidak ada makanan lagi yang dapat mereka berdua makan pada hari itu. Lalu Aisyah berkata: “Mengapa Rasulullah lebih mementingkan orang lain daripada diri sendiri?”

Baginda menjawab: “Wahai isteriku! Aku adalah pemimpin rakyatku. Kewajipanku adalah memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka. Bagaimana aku harus menjawab apabila kelak Allah bertanya kepadaku: Wahai Muhammad! Mana tanggung jawabmu sebagai pemimpin? Mengapa rakyatmu kelaparan sedangkan perutmu selalu kenyang? “

Begitulah contoh teladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW sebagai seorang pemimpin. Seorang pemimpin wajiB memberikan layanan dan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat yang berada di bawah pimpinannya.
Keadaan ini amat berbeza dengan realiti masyarakat dewasa ini yang kebanyakan ramai manusia tertipu dengan kekuasaan sehingga mereka sanggup berusaha untuk mendapatkannya cara kotor.

Melalui sabdanya yang bermaksud: “Sesungguhnya kalian semua berlumba-lumba untuk mendapatkan kekuasaan padahal pada hari Akhirat nanti akan menjadi penyesalan kamu sekalian. Berbahagialah orang yang tidak mengejarnya dan celakalah orang yang berlumba-lumba mendapatkannya.” (Hadis Riwayat Jama’ah)
Hadis tersebut merupakan peringatan keras Rasulullah SAW terhadap umatnya.

Dalam konteks ini, kepemimpinan yang dimiliki seseorang manusia jika tidak dilandasi dengan ketakwaan kepada Allah maka dia akan cenderung berlaku zalim, sombong, menindas rakyatnya, mengamalkan kronisme, rasuah dan pelbagai amalan keji yang lain.

Oleh sebab itulah, Rasulullah SAW memberi amaran keras kepada umatnya supaya jangan tersalah pilih pemimpin daripada kalangan mereka.

Sabda baginda SAW maksudnya: “Apabila amanah disia-siakan, maka tunggulah saat kehancuran.” Seorang sahabat bertanya: “Apakah yang dimaksudkan dengan mensia-siakan amanah itu, wahai Rasulullah?”
Rasulullah SAW menjawab: “Apabila sesuatu urusan diserahkan kepada orang yang tidak berkelayakan maka tunggulah saat kehancurannya.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Ringkasnya, kepemimpinan dalam Islam bukan sekadar kontrak perjanjian yang termeterai antara seorang pemimpin dengan masyarakat di bawah pimpinannya, tetapi juga satu ikatan perjanjian yang suci antara pemimpin dengan Allah SWT dalam menjunjung perintah Ilahi serta menjauhi segala larangan-Nya.

Sumber: HARIAN METRO