Bukti Kekuasaan Allah

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Setiap hari kita sering melihat perubahan siang dan malam silih berganti. Seharusnya kita mencari masa untuk berfikir tentang fitrah alam tersebut yang merupakan antara tanda kekuasaan Allah.

Tidak ada seorang manusia mampu mencipta dan membuat perubahan siang dan malam mengikut ketetapannya. Ini menunjukkan bahawa manusia adalah lemah dan Allah sahaja yang Maha Hebat dalam mengatur perjalanan alam cakerawala mengikut ketetapan-Nya.

Allah SWT menyatakan dalam al-Quran bahawa salah satu tanda kekuasaan-Nya adalah pertukaran siang dan malam. Setiap hari manusia melihat siang dan malam yang sepatutnya mengingatkan diri tentang kewajipan mengakui kebesaran Allah SWT.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran bermaksud:  “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang yang berakal.”  (Surah Ali ‘Imran, ayat 190)

Dalam ayat tersebut, Allah SWT menyatakan pertukaran malam dan siang membuktikan tanda-tanda kekuasaan-Nya bagi orang yang berakal. Pada ayat lain, Allah SWT menyatakan bahawa orang yang bertakwa akan menyaksikan kehebatan Allah SWT berdasarkan malam dan siang yang silih berganti.

Firman Allah SWT yang bermaksud:  “Sesungguhnya pada pertukaran malam dan siang silih berganti dan pada segala yang dijadikan oleh Allah di langit dan di bumi, ada tanda-tanda (yang menunjukkan undang-undang dan peraturan Allah) kepada kaum yang mahu bertakwa.”  (Surah Yunus, ayat 6)

Pertukaran malam dan siang yang berlaku setiap hari juga menunjukkan keadilan Allah SWT yang membahagikan masa untuk kehidupan manusia. Waktu malam adalah masa untuk manusia berehat manakala waktu siang untuk mereka mencari rezeki.

Ketetapan ini seharusnya membuatkan manusia sentiasa mensyukuri nikmat ketetapan Allah SWT dalam mengatur alam semesta. Hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui perkara baik dan diperlukan oleh manusia.

“Dan di antara rahmat pemberian-Nya, Dia menjadikan untuk kamu malam dan siang (silih berganti supaya kamu berehat padanya dan supaya kamu berusaha mencari rezeki daripada limpah kurniaan-Nya, dan juga supaya kamu bersyukur.”  (Surah al-Qasas, ayat 73)

Keperluan memikirkan keagungan Allah SWT serta mensyukuri nikmat kurniaan-Nya sepertimana firman-Nya yang bermaksud:  “Dan Dialah yang menjadikan malam dan siang silih berganti untuk sesiapa yang mahu beringat (memikirkan kebesaran-Nya) atau mahu bersyukur (akan semua nikmat-Nya itu).”  (Surah al-Furqan, ayat 62)

Apabila menyebut perihal siang dan malam, peringatan Allah SWT tentang masa siang (tengah hari) dan malam yang disebut sebagai masa diturunkan bencana oleh-Nya. Allah SWT telah menurunkan bala bencana kepada hamba yang mengingkari perintah-Nya pada waktu tertentu pada siang dan malam hari.

Selain itu, waktu siang dan malam juga dikaitkan dengan peluang yang dibuka oleh Allah SWT kepada semua hamba-Nya untuk bertaubat. Keluasan rahmat Allah SWT mengatasi kemurkaan-Nya jika manusia mengambil iktibar daripada firman-Nya berkenaan kejadian siang dan malam yang berlaku saban hari.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:  “Sesungguhnya Allah selalu membuka rahmat-Nya pada waktu malam untuk menerima taubat orang yang melakukan kesalahan pada waktu siang hari, dan Allah membuka rahmat-Nya pada siang hari untuk menerima taubat orang yang melakukan kesalahan pada waktu malam hari. Begitulah, hingga matahari terbit dari arah barat.”  (Hadis riwayat Muslim)

Memang benar, perbuatan buruk balasannya adalah dosa dan neraka. Namun rahmat Allah SWT melangkaui keadilan-Nya.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud:  “Jika kamu menjauhkan dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya, Kami (Allah) akan mengampunkan kesalahan (dosa kecil) kamu dan kami akan masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga).”  (Surah an-Nisa’, ayat 31)

Usaha memohon keampunan daripada Allah SWT juga boleh dilakukan dengan melakukan ibadah pada waktu malam.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud:  “Dan bangunlah pada sebahagian daripada waktu malam serta kerjakanlah (solat tahajud) padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu, semoga Tuhanmu membangkitkan serta menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.” (Surah al-Isra’, ayat 79)

Sebagai hamba Allah SWT, kita sepatutnya berusaha memikirkan tentang kebesaran dan keagungan-Nya. Marilah kita mencelikkan mata hati untuk memikirkan kejadian alam iaitu siang dan malam yang saban hari disaksikan dalam kehidupan ini.

Peringatan tentang keperluan mencelikkan mata hati untuk berfikir tentang kebesaran Allah SWT dirakamkan dalam al-Quran menerusi firman-Nya yang bermaksud:  “Allah menukarkan malam dan siang silih berganti; sesungguhnya yang demikian mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang yang celik mata hatinya untuk berfikir.”  (Surah an-Nur, ayat 44)

Sumber: HARIAN METRO