Buli pelajar, sembilan juvana didakwa

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

TELUK INTAN: Sembilan pelajar lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Teluk Intan di sini, atas dakwaan menyebabkan kecederaan parah ke atas seorang pelajar.
Semua tertuduh juvana berusia 17 tahun terbabit mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nur Faizah Mohamad Saleh.
Mengikut pertuduhan, semua tertuduh secara bersama didakwa menyebabkan kecederaan parah ke atas mangsa yang berusia 14 tahun.
Kesalahan didakwa dilakukan di bilik asrama lelaki sebuah sekolah menengah di Teluk Intan pada jam 12.30 tengah malam, 23 Jun lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun dan denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Azalea Sharmeen Zaizan manakala semua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Francis Sinnappan.
Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Oktober untuk sebutan semula kes.
Media sebelum ini melaporkan, seorang pelajar lelaki Tingkatan Dua cedera dipercayai dipukul 10 pelajar senior yang didakwa turut menggunakan seterika panas di sebuah asrama sekolah menengah.
Siasatan awal mendapati kejadian bermotifkan cemburu kerana mangsa berbual dengan pelajar perempuan yang juga teman wanita salah seorang suspek.


Sumber : Berita Harian