Bunuh diri: Bukan jalan penyelesaian

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Gambar Hiasan

Apabila kita berbicara mengenai kehidupan yang mencabar hari ini maka kita dapati banyak kes bunuh diri akibat kesempitan wang untuk meneruskan kehidupan. Wabak yang sedang memusnahkan sistem ekonomi sebahagian besar masyarakat ini sudah memberi implikasi serius khususnya kes kematian yang disebabkan tekanan hidup yang dibebani pelbagai tanggungjawab seperti hutang, keperluan harian, pelan perlindungan dan sebagainya. Hal ini akhirnya membawa kepada tindakan luar jangkaan termasuk terjun bangunan, gantung diri, minum racun dan stres seperti yang dilaporkan media tempatan.

Segelintir masyarakat menganggap bahawa perbuatan bunuh diri ini sebagai jalan penyelesaian daripada segala masalah yang membelenggu, ada juga berfikiran bahawa dengan cara terbabit pihak keluarganya akan mendapat pampasan kematian, bahkan lebih dahsyat apabila seseorang itu sudah berputus dari ujian Allah SWT. Akal yang waras, ilmu yang benar harus digandingkan sepanjang masa supaya setiap tindakan dibuat berpandukan penilaian hukum halal dan haram di sisi syarak.

Sebagai Muslim, apa sahaja perbuatan yang membinasakan diri jelas dilarang dan dosa hukumnya seperti firman Allah SWT yang bermaksud: “Janganlah kamu mencampakkan diri ke dalam lembah kebinasaan! Buatlah kebaikan, sesungguhnya Allah menyukai orang yang baik.” (al-Baqarah: 195)

Menurut Sheikh Muhammad Salih al-Munajjid, ulama menjadikan ayat ini sebagai dalil pengharaman perbuatan bunuh diri, yakni mereka mengatakan kebinasaan yang dimaksudkan ialah bunuh diri (al-Islām Suāl wa Jawāb).

Sebenarnya bunuh diri bukan jalan keluar daripada masalah. Bahkan Islam melalui rukun Iman kelima iaitu beriman kepada hari kiamat jelas mengajar kita bahawa kehidupan mahupun kematian di dunia ini bukan lagi pengakhiran. Sebaliknya kita wajib melalui alam mendatang yang sangat panjang sehingga alam akhirat yang tiada lagi penghujung. Adakah kematian kita di dunia suatu pengakhiran? Pastinya tidak.

Sahabat Rasulullah SAW yang bernama Abdullah bin Amru al-As pernah menyebut hendaklah kita bersungguh-sungguh bekerja untuk habuan duniawi seolah-olah kita hidup selama-lamanya. (Zawāid Musnad al-Hāris)

Masalah yang kita hadapi mesti diselesaikan secara matang dan rasional. Pastikan orang terdekat seperti pasangan, sahabat dan ahli keluarga tahu apa yang berlaku dalam hidup kita. Jika orang terdekat tidak membantu, bawa masalah terbabit kepada orang yang bertauliah seperti kaunselor, ustaz, peguam dan mana-mana orang tengah yang dirasakan boleh membantu dan meringankan bebenan masalah.

Jangan dipendamkan perkara terbabit sehingga membawa kepada tindakan yang membinasakan diri dan keluarga. Jika Rasulullah SAW yang merupakan manusia paling agong itu juga pernah menghadapi masalah, siapa kita yang kerdil ini untuk selamat daripada masalah dan tekanan hidup?

Jawapannya bagaimana kita mencari penyelesaian daripada masalah itu? Kita rasa susah akibat kesempitan wang? Ketahuilah pelarian Afrika ramai yang mati kebuluran. Ingat bahawa masih ramai lagi orang lain yang lebih sukar kehidupan mereka, lebih memerlukan berbanding kita yang baru sahaja diuji dengan wabak ini.

Akhir sekali, jangan lupa sentiasa mendekatkan diri kepada Allah SWT. Dia yang mencipta segala makhluk termasuk Covid-19, Dia juga yang memusnahkannya bila sampai masanya. Sementara masa hidup yang berbaki ini, mari sama-sama kita berdoa dan bersungguh-sungguh memohon pertolongan daripada-Nya. Yakin bahawa setiap musibah yang datang akan datang juga bersamanya keampunan dan rahmat daripada Allah SWT. Semoga Dia mengampuni semua dosa kita, mendengar segala doa kita, menerima setiap amalan kita dan mengangkat wabak ini daripada kita semua. Amin  

Penulis pensyarah  Management and Science University  (MSU)

Sumber: My Metro