Burhanuddin Pengarah Eksekutif Baharu Terengganu Inc

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) melantik Burhanuddin Hilmi Mohamed@ Harun sebagai Pengarah Eksekutif baharu berkuatkuasa, Ahad lalu.

Burhanuddin Hilmi menggantikan Dr Wan Ahmad Rudirman Wan Razak yang melepaskan jawatan berkuatkuasa Ahad.

Sebelum menyertai Terengganu Inc,Burhanuddin Hilmi, 50, berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang korporat dan kewangan termasuk audit dan baikpulih perniagaan serta perancangan strategi perniagaan. Beliau pernah memegang pelbagai jawatan sebagai Ketua Pegawai Kewangan di beberapa konglomerat Malaysia dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

“Burhanuddin Hilmi sebelum ini adalah Ketua Pegawai kewangan Kumpulan Composites Technology Research Malaysia Sdn Bhd (CTRM) iaitu sebuah syarikat berteknologi tinggi yang mengeluarkan peralatan serta kelengkapan kapal terbang Airbus dan Boeing.

“Pada 2018, Burhanuddin Hilmi adalah Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan di Zetro Aerospace Corporation dan Pengarah di Chartridge Conference Company Ltd (UK),” katanya melalui kenyataan media.

Menurut kenyataan itu, Burhanuddin Hilmi juga berpengalaman luas dalam pelbagai industri termasuk minyak dan gas, perkilangan dan penerbangan.

Pada awal kariernya, pemegang Ijazah perniagaan antarabangsa, Universiti Islam Antarabangsa (UIA) ini menyertai beberapa syarikat kewangan terkemuka antaranya KPMG dan PricewaterhouseCoopers (PwC).

Sementara itu, Menteri Besar yang juga Pengerusi Terengganu Inc melalui kenyataan berkata, kerajaan negeri yakin dengan kemahiran dan pengalaman dimiliki Burhanuddin Hilmi.

“Burhanuddin Hilmi akan meneruskan kemampanan dan daya saing Kumpulan Terengganu Inc dalam memperkukuhkan strategi perniagaan anak syarikat kumpulan bagi memanfaatkan pelaburan untuk rakyat,” katanya. – HARIAN METRO