KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi, namun kemudiannya merosot berikutan aktiviti pengambilan untung dalam saham wajaran tinggi terpilih yang mengetepikan peningkatan awal itu, kata peniaga.
Pada 9.23 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 3.94 mata kepada 1,520.09 daripada 1,524.03 sewaktu ditutup pada Selasa, selepas dibuka 2.0 mata lebih tinggi kepada 1,526.03.
Di pasaran lebih meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 267 berbanding 201, manakala 302 kaunter tidak berubah, 1,514 tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung.
Jumlah dagangan berjumlah 488.59 juta unit bernilai RM247.20 juta.
Dalam nota penyelidikan hari ini, Malacca Securities Sdn Bhd berkata peniaga mungkin mula tertumpu kepada kaunter-kaunter berkaitan 5G susulan pelancaran rangkaian 5G pertama negara hari ini, dengan kerajaan dijangka membuat pengembangan selanjutnya bagi rangkaian itu pada tahun depan.
Katanya, pada Selasa, FBM KLCI merosot berikutan tekanan jualan di tengah-tengah prestasi pasaran serantau yang bercampur-campur, meskipun data Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) bagi September 2021 adalah lebih baik dan bacaan pekerjaan yang lebih memberangsangkan.
“Sektor tenaga adalah satu-satunya yang mencatat kenaikan di pasaran meluas berikutan harga minyak mentah yang terus meningkat, berlegar melebihi AS$84 setong setakat ini,” katanya.
Setakat hari ini, firma penyelidikan itu menjangka kaunter minyak dan gas akan terus meraih perhatian sejajar dengan kenaikan harga minyak mentah.
“Ketika pelabur mungkin kekal gelisah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kami yakin kaunter-kaunter yang mencatat penurunan ketara akan menjadi tumpuan untuk belian saham berharga rendah, terutamanya bagi kaunter-kaunter yang mempunyai prospek pendapatan yang lebih kukuh,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan IHH Healthcare masing-masing tidak berubah pada RM7.99 dan RM6.45, Public Bank jatuh 1.0 sen kepada RM4.02, Petronas Chemicals merosot 4.0 sen kepada RM8.25, dan TNB susut 2.0 sen kepada RM9.59.
Bagi saham aktif, Eduspec tidak berubah pada 1.5 sen, KNM Group jatuh setengah sen kepada 20 sen, manakala Tanco Holdings naik setengah sen kepada 27 sen dan Bintai Kinden menambah 3.5 sen kepada 39.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 18.51 mata kepada 11,270.86, Indeks FBMT 100 susut 21.07 mata kepada 10,898.51, Indeks FBM Emas Syariah turun 16.53 mata kepada 12,281.51, FBM ACE naik 12.76 mata kepada 6,929.33 dan FBM 70 berkurangan 0.89 mata kepada 14,951.04.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.44 mata kepada 200.78, Indeks Perladangan berkurangan 18.25 mata kepada 6,633.61, dan Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 36.98 mata kepada 15,093.13.
Sumber: Berita Harian