Temerloh: Buruh binaan maut manakala adiknya parah selepas motosikal ditunggang bertembung sebuah lori dan diseret kira-kira 10 meter dalam kejadian di Kilometer 139, Jalan Kuantan-Kuala Lumpur, petang semalam.
Dalam kejadian 3.05 petang itu, mangsa, T Vellasamygaenesan, 29, meninggal dunia di tempat kejadian manakala adiknya, T Mathanaruban, 27, yang membonceng motosikal parah.
Timbalan Ketua Polis Daerah Temerloh, Superintendan Roslee Omar berkata, kejadian membabitkan motosikal jenis Yamaha 135LC dan lori jenis Hino.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila lori dipandu seorang lelaki berusia 60 tahun dari kilang papan Batu 5 menghala ke kawasan perindustrian di Mentakab.
“Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu lori itu ternampak motosikal yang ditunggang mangsa dari arah bertentangan masuk ke laluannya.
“Pemandu lori itu cuba mengelak ke kiri tetapi kerana jarak terlalu hampir, kedua-duanya bertembung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, mangsa bersama motosikal diseret manakala pemandu lori tidak cedera.
“Mayat dibawa Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) untuk bedah siasat selepas mendapat keputusan saringan Covid-19. Adiknya turut dihantar ke hospital sama untuk rawatan selanjutnya,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sumber: My Metro