Buruh Didakwa Cuba Bunuh Rakan Sekampung

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU – Seorang buruh didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini terhadap pertuduhan cuba membunuh rakan sekampungnya pada 15 Mei lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Amri Faisa Sauti, 39, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan cubaan bunuh sehingga menyebabkan berlaku kecederaan kepada Mohd Zailuddin Hart, 50. Perbuatan tersebut berlaku pada jam 8.45 malam di hadapan Masjid Kampung Bukit Temalong, Gunong dekat Bachok.

Justeru tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Terdahulu, Wan Nurul Hanini tidak menawarkan jaminan kerana tertuduh melakukan kesalahan serius dan pertuduhan itu juga tidak boleh dijamin.

Tertuduh memaklumkan bahawa dia tidak akan melantik peguam dan akan menjalani prosiding perbicaraan sendiri. Tetapi, mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 14 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sumber: HARIAN METRO