Buruh Didakwa Miliki Pistol Tiruan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU – Seorang buruh didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan memiliki sepucuk pistol tiruan tanpa kebenaran sah.

Bagaimanapun, tertuduh, Mohd Azhan Mustaffa, 38, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mohd Izdham Naim Che Ani.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki sepucuk pistol tiruan tanpa kebenaran sah di kawasan semak berhampiran rumah di Kampung Terap Banggu di sini, jam 1.15 petang, 23 Februari 2022.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Inspektor Pendakwaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu, Siti Aisyah Abdul Manah dan tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Intan Nor Nadhirah Ismail.

Terdahulu, Siti Aisyah menawarkan jaminan RM5,000 kepada tertuduh dan memohon satu tarikh untuk serahan dokumen.

Intan Nor Nadhirah memohon satu jaminan yang minimum kepada tertuduh berikutan lelaki itu adalah bapa tunggal dan mempunyai tiga anak berusia antara tujuh hingga 10 tahun.

Beliau berkata, tertuduh juga adalah orang kurang upaya (OKU) fizikal kerana tangannya terbakar

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,800 dan menetapkan 20 Julai hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sumber: BERITA HARIAN