Penduduk Kampung Lubuk Lesung terpaksa hadap longgokan sampah

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KEMAMAN: Busuk, kotor dan menjijikkan, itu keadaan yang ditanggung kira-kira 600 penduduk di Kampung Lubuk Lesung, Kemaman yang terpaksa menggunakan bahu jalan sebagai tempat pelupusan sampah.

Penduduk mendakwa keadaan itu tercetus berikutan pihak berwajib tidak menjalankan kutipan sampah seperti yang dijadualkan.

Berikutan itu sampah yang dibuang bukan sahaja berteraburan malah ianya turut mengundang kehadiran haiwan liar seperti monyet dan biawak untuk mencari makanan.

Menurut penduduk masalah tersebut telah berlarutan selama hampir dua tahun dan pihak yang sepatutnya menjalankan kerja mengutip sampah tidak menjalankannya mengikut jadual.

Tambah penduduk sebelum ini sisa sampah penduduk dibuang di dalam tong sampah yang disediakan namun kini tiada lagi tong sampah yang disediakan oleh pihak berwajib dan penduduk mula melonggokkan sampah di bahu jalan bagi mengelakkan bau busuk menyelubungi kawasan kediaman mereka.

Ada di antara penduduk mengambil alternatif menggali beberapa lubang besar sebagai tempat pembuangan sampah namun ianya tidak praktikal apabila bencana banjir yang berlaku hujung tahun lalu menyebabkan sampah dihanyutkan banjir di sekitar kawasan rumah penduduk.

“Sebenarnya memang sangat menganggu. Masyarakat yang lalu lalang di sini bukan setakat masyarakat kampung kita, jalan ini sebenarnya jalan pintas kepada orang di kampung sebelah. Jadi ia menganggu pemandangan terutamanya,” jelas seorang penduduk, Abdul Halimi Yusof.

Sementara itu Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman, Jusman Ibrahim ketika dihubungi berkata, kawasan tersebut tidak termasuk di bawah kawasan seliaan kebersihan MPK dan ianya di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH).

Menurut Jusman, MPK akan mengadakan perbincangan bersama pihak KETENGAH dalam masa terdekat bagi mencari jalan penyelesaian berkenaan isu tersebut dan pihaknya akan menghantar beberapa unit tong sampah sementara bagi mengatasi masalah berkenaan.

Sumber: Astro Awani