KUALA LUMPUR – Perjuangan atlet ski alpine negara, Aruwin Salehhuddin di Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022 berakhir hari ini, selepas dia gagal menamatkan aksi dalam saingan Run 1 bagi acara slalom wanita.
Pada aksi di Pusat Alpine Skiing Nasional Yanging, Aruwin, 17, yang membuat penampilan sulung di temasya kali ini bermula baik sebelum dia terjatuh di hujung saingan sekali gus menutup pintu buat dirinya untuk melangkah ke saingan Run 2.
Kelmarin, atlet yang dibimbing jurulatih persendirian dari Croatia, Mladen Bezjak itu menamatkan aksi pertamanya di temasya kali ini dengan berada di kedudukan ke-38 bagi acara giant slalom wanita.
Ketua kontinjen negara ke Beijing, Moira Tan Siew See berkata Aruwin sudah membuatkan Malaysia berbangga dengan pencapaian yang dilakarnya di temasya kali ini dalam acara giant slalom dan slalom.
“Kami sangat pasti Aruwin akan terus bekerja keras dan mempunyai kesungguhan yang lebih hebat untuk kembali lebih kuat empat tahun lagi bagi menyertai Sukan Olimpik Musim Sejuk Milano Cortina 2026,” katanya.
Selain Aruwin, kontinjen Malaysia turut diwakili seorang lagi atlet yang beraksi dalam sukan sama iaitu Jeffrey Webb dan atlet berusia 23 tahun itu dijadual membuka tirai saingannya pada 16 Februari ini.
Penyertaan Aruwin kali ini menyaksikan dirinya muncul selaku atlet wanita pertama negara yang mewakili kontinjen negara dalam Sukan Olimpik Musim Sejuk selepas buat julung kali Malaysia berada dalam senarai temasya di Pyeongchang, Korea Selatan pada 2018.
Sebagai rekod, pada edisi di Pyeong Chang 2018, Malaysia mencipta sejarah penampilan sulung di Olimpik Musim Sejuk dengan diwakili Jeffrey dan peluncur ais, Julian Yee.
Julian menamatkan saingan di kedudukan ke-25 bagi acara perseorangan lelaki manakala Jeffrey menduduki tempat ke-68 dalam acara giant slalom lelaki namun gagal menamatkan acara slalom.
Sumber: BERITA HARIAN