PARIS: Satu kajian di United Kingdom (UK) mendapati pesakit cacar monyet boleh menyebarkan virus itu seawal empat hari sebelum mula bergejala, dengan lebih separuh jangkitan mungkin berlaku dalam tempoh berkenaan.
Meskipun kajian itu belum disahkan, ia mencadangkan bahawa kebanyakan jangkitan cacar monyet tidak dapat diatasi dengan mengasingkan pesakit selepas disahkan positif virus berkenaan.
Sejak Mei lalu, virus itu secara tiba-tiba menular di luar negara Afrika Barat yang sudah lama mengkategorikannya sebagai endemik, dan data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan ia sudah meragut 36 nyawa daripada lebih 77,000 kes setakat ini.
Namun, jumlah kes mula menurun sejak Julai lalu, khususnya di Eropah dan Amerika Utara yang paling teruk terkesan ketika awal penularan peringkat global.
Kajian terbaru itu yang diterbitkan dalam jurnal BMJ itu dijalankan di Britain, negara pertama mengesan kluster kes cacar monyet di luar Afrika pada Mei lalu.
Penyelidik Agensi Keselamatan Kesihatan UK meneliti data pengesanan kontak dan kaji selidik membabitkan 2,746 pesakit cacar monyet di negara itu antara Mei hingga Ogos lalu.
Kira-kira 95 peratus pesakit itu adalah dalam kalangan lelaki yang menjalin hubungan seks dengan lelaki.
Berdasarkan analisis menggunakan dua model statistik berbeza, penyelidik berkenaan mendapati purata tempoh untuk seseorang pesakit mula bergejala mengambil masa hampir lapan hari selepas pesakit terdedah dengan virus itu.
Tempoh itu didapati lebih panjang berbanding masa ketika pesakit pertama dan kontak rapat mereka mula bergejala.
Kajian itu menganggarkan 53 peratus kes tersebar sebelum pesakit mula bergejala, dengan jangkitan dikesan dalam tempoh maksimum empat hari sebelum bergejala.
Antara gejala cacar monyet termasuklah demam, sakit otot dan ruam yang besar di kulit. – AFP
Sumber: BERITA HARIAN