Kuantan: Kerajaan negeri Pahang dicadangkan supaya mengagihkan secara percuma atau memberikan subsidi kit ujian kendiri Covid-19 kepada keluarga B40, supaya lebih ramai penduduk boleh melakukan ujian sendiri sekali gus membantu mencegah pertambahan kluster baharu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bilut, Lee Chin Chen berkata, terdapat keperluan berbuat demikian memandangkan Kementerian Kesihatan (KKM) menjelaskan, banyak kes positif kini tidak menunjukkan gejala yang bermaksud berkemungkinan ramai dalam komuniti, tidak menyedari mereka dijangkiti.
“Kit ujian kendiri ini perlu menjadi bahan keperluan keluarga, supaya lebih ramai berpeluang melakukan ujian saringan. Bagaimanapun harganya di pasaran adalah tinggi dan jika ahli keluarga adalah ramai, ia boleh membebankan kewangan mereka,” katanya.
Lee yang juga Ketua Pembangkang DUN Pahang berkata demikian, semasa membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.
Kerajaan negeri, menurut Lee juga wajar mewujudkan tabung khas untuk menjaga keluarga B40 yang terkesan ekoran pandemik Covid-19, dengan memberikan bantuan kewangan untuk tempoh tertentu, selain langkah pengecualian cukai pintu dan cukai tanah boleh dipertimbangkan kepada mereka yang layak.
Sementara itu, Young Syefura Othman (DAP-Ketari) dalam perbahasan itu, memohon kerajaan negeri lebih terbuka dalam berkongsi data kes dan kluster Covid-19, serta pelan memerangi pandemik tersebut dengan wakil rakyat pembangkang, bagi memudahkan mereka mengambil tindakan sewajarnya.
“Kerjasama antara kerajaan negeri dan pembangkang penting, untuk memacu kemakmuran negeri dan berkali ganda lebih penting dalam pandemik Covid-19. Saya terkilan apabila kerajaan negeri tidak berkongsi data mengenai status ini.
“Kami tidak berniat mahu merebut kuasa atau bermain politik, kerana jumlah kami hanya sembilan orang sahaja. Kita bukan mahu maklumat terlalu peribadi pesakit, tetapi jika diberikan maklumat lebih lengkap seperti nama taman perumahan, ia memudahkan kami menghantar bantuan,” katanya.
Sementara itu, Lee Chean Chung (PKR-Semambu) memohon kerajaan negeri untuk mencari jalan keluar membantu umat Islam di negeri ini menunaikan solat Jumaat, ekoran mendengar banyak keluhan mereka yang sudah lama tidak berpeluang menunaikan solat itu, disebabkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Antara yang boleh dilakukan ialah dengan mendapatkan fatwa atau hukum melaksanakan solat Jumaat sebanyak dua kali di masjid, atau bolehkah surau yang berkapasiti lebih 40 orang diberikan kebenaran melaksanakan solat Jumaat, seperti dilakukan beberapa negara luar,” katanya.
Persidangan bersambung esok.
Sumber: My Metro