Kuala Terengganu: Kerajaan berhasrat menetapkan model khas gajet elektronik seperti komputer riba atau tablet mampu milik untuk kegunaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata, idea itu timbul susulan rungutan daripada pengguna yang mendakwa berlaku kenaikan dan kekurangan bekalan susulan permintaan tinggi barangan itu bagi memenuhi keperluan PdPR.
Beliau berkata, cadangan itu juga bagi mengurangkan beban ibu bapa terutama bagi mereka yang berpendapatan rendah untuk menyediakan kemudahan berkenaan bagi proses pembelajaran anak mereka.
“Model khas alat peranti itu nanti akan memenuhi spesifikasi minimum PdPR dan kita melihat ini salah satu cara untuk menentukan atau mengawal harga barangan berkenaan.
“Sekarang ini, barangan ini menjadi keperluan untuk belajar dan mereka yang terpaksa bekerja dari rumah.
“Kita akan mengadakan satu pertemuan dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan pemain industri dalam masa terdekat untuk melihat keperluan sekiranya produk khas ini boleh dilaksanakan dengan perisian yang ditetapkan pada harga yang minimum.
“Pelaksanaan ini diharap dapat menyelesaikan masalah rungutan masyarakat yang mengatakan bahawa harga gajet yang tinggi sehingga membebankan ibu bapa terutamanya daripada golongan berpendapatan rendah,” katanya selepas melakukan lawatan dan pemeriksaan di pusat penjualan dan servis komputer.
Turut hadir Pengerusi Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Terengganu Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman dan Pengarah KPDNHEP Terengganu Saharuddin Mohd Kia.
Mengulas lanjut, Rosol berkata, harga model khas alat peranti itu masih belum ditentukan namun menjangkakan ia akan dijual dengan harga yang lebih berpatutan.
Katanya, ia akan dilengkapi dengan perisian yang diperlukan untuk pelajar menjalani PdPR dan pihaknya memberi jaminan harganya mampu dimiliki semua golongan.
“Bagaimanapun, pelaksanaan dan agihannya nanti akan ditentukan selepas pertemuan dengan pihak yang berkaitan,” katanya.
Sumber: My Metro