KUANTAN, 24 MAC 2021 : Kerajaan Pahang bercadang untuk menakung 80 peratus air mentah dari lembangan sungai negeri, di negeri ini, yang mengalir ke Laut China Selatan pada setiap hari.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin berkata, kajian sebelum ini mendapati air mentah dari sungai negeri khususnya Sungai Pahang, Sungai Kuantan dan Sungai Rompin menyumbang kira-kira 12.661 juta meter padu sehari.
Beliau berkata, kesemua 12.661 juta meter padu air itu mengalir ke Laut China Selatan tanpa dimanfaatkan sedangkan ianya dapat memenuhi keperluan rakyat di negeri ini pada setiap hari.
“Keperluan penduduk Pahang untuk bekalan air dirawat sehingga tahun 2050 cuma kira-kira 1.888 juta meter padu sehari yang bermaksud 12.661 juta meter padu sehari itu adalah lebih daripada memadai bagi menampung keperluan air terawat negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di laman facebook miliknya sempena Sambutan Hari Air Sedunia, baru-baru ini.
Katanya, Negeri Pahang juga telah berkorban untuk kesejahteraan negeri-negeri sekitarnya apabila mewartakan 258,951 hektar hutan sebagai kawasan tadahan air setakat ini.
“Ini komitmen dan keutamaan kerajaan Pahang yang komited menjaga kelestarian hutan yang mana tujuannya untuk kawasan tadahan air,” katanya.
Beliau turut mengingatkan rakyat supaya memberi dukungan dalam konservasi air dengan memanfaatkan penggunaan air dengan bijak selain berjimat dalam penggunaannya demi kelestarian alam.
Hari Air Sedunia telah diisytihar oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1993 dengan menetapkan 22 Mac sebagai sambutannya pada setiap tahun.
Ia bertujuan memenuhi matlamat pembangunan mampan bagi memastikan setiap orang dapat mengakses air bersih menjelang 2030 selain menjadikan air sebagai usaha untuk membasmi kemiskinan.
Sumber: PAHANGMEDIA