Sungguh indahnya pemandanganMu ini Ya Tuhan. Terima kasih kerana masih mengizinkan aku untuk melihat alam ciptaanMu di muka bumi ini. Angin yang menderu-deru di pantai telah membuatkan tudungku berterbangan seperti burung-burung yang sedang terbang. Air mataku mengalir dipipi kerana mengenangkan kisah silam yang amat ku benci dengan diri ini. Akankah Tuhanku mengampuni aku atas dosa-dosaku sebelum ini?
Hidup di dunia ini tak semuanya indah. Nama aku Sarah. Aku ialah seorang gadis yang telah diberikan hidayah oleh Tuhanku iaitu Allah SWT. Pelbagai dosa besar yang telah aku lakukan di muka bumi ini sehingga aku merasakan aku tidak layak diberikan hidayah dan peluang kedua untuk hidup di muka bumi ini oleh Tuhan yang Maha Esa. Aku amat menyesali atas perbuatan apa yang telah aku lakukan. Walaupun diri ini telah dikurniakan hidayah oleh Tuhanku. Namun, dosa-dosa lalu masih menghantui diriku.
Adakah layak diri ini masuk ke syurga yang abadi? Pada waktu senja, aku berjalan-jalan seorang diri sambil melihat matahari terbenam. Ketika berjalan-jalan di pinggir pantai, aku mengingatkan kembali dosa-dosaku yang terdahulu. Aku berdiri mengadap matahari terbenam dan berfikir seketika. “Aku ingin menjadi seperti matahari, walaupun dirinya hanya wujud di siang hari tetapi ia memberi banyak kebaikan kepada semua hidupan di muka bumi ini dan ia juga tidak pernah jemu untuk menyinari bumi ini walaupun kadang-kadang ia dilindungi oleh awan yang mendung.” kataku di dalam hati dengan perasaan yang sedih dan sayu.
Ketika itu, tiada seorang pun yang berada di situ melainkan aku. Aku menjerit sekuat hatiku kerana aku merasakan diri ini begitu jijik dan hina. Aku tak sangka yang aku sanggup melakukan hal terkutuk itu. Aku merasakan aku ini anak yang derhaka kepada ibu dan ayahku. Melihat matahari terbenam dapat mengambarkan tentang dua perkara yang ada dalam diri aku iaitu tentang keindahan yang bererti kebahagiaan, dan juga tentang kesedihan dan kesakitan dikala perpisahan yang diibaratkan dengan waktu senja yang mana langit kelihatan berwarna oren yang semakin lama semakin menghilang.
Ini sebenarnya menunjukkan bahawa aku dengan waktu senja ibarat sama ketika menjalani liku-liku kehidupan yang sesungguhnya hanya berlangsung sebentar saja dan hidup ini tidak selalunya indah. Di sini dapat aku melihat bahawa aku sedang menghadapi masalah yang membuatkan aku berasa sedih dan amat aku sesali. Waktu senja menunjukkan tentang perpisahan yang aku lalui pada hari ini. Aku telah kehilangan maruah serta telah memusnahkan imej keluargaku disebabkan oleh perbuatan diriku ini. Aku berasa jijik dengan diri aku sendiri.
Setiap makhluk yang digelar sebagai manusia di muka bumi ini pernah dan sering melakukan kesilapan. Kesilapan itu perlulah disegerakan untuk memohon keampunan daripada Sang pencipta dan menyesali kesalahan tersebut kerana sesungguhnya pintu taubat itu sentiasa terbuka untuk hambaNya. Itulah ungkapan yang sering aku katakan atas penyesalan yang pernah terjebak sebagai seorang pelacur dan juga melakukan pekerjaan yang haram sebagai seorang yang beragama Islam.
Kisah aku bermula setelah aku menamatkan pengajianku di peringkat universiti. Aku mempunyai kawan baik yang bernama Amalin, dia merupakan kawan baik aku ketika di universiti. Amalin ini boleh dikatakan seorang yang baik, sopan santun dan rajin solat pada awal waktu. Itulah yang menyebabkan aku suka berkawan dengannya, sejak hari pertama kami masuk unversiti itu kami berkenalan dan mula rapat. Dia merupakan rakan sebilik aku ketika di kolej itu.
Semasa di universiti lagi, Amalin ini sudah bekerja yang mempunyai kerjayanya yang tersendiri. Amalin memberitahu aku bahawa dia telah bekerja sebagai penjual produk kecantikan yang berjenama Z dan menjadi model produk tersebut. Bukan itu sahaja, dia juga merupakan seorang yang telah melabur sahamnya dalam perniagaan produk itu. Aku amat berbangga kerana mempunyai kawan yang telah bekerja sebagai ahli niaga dan model produk kecantikan.
Ketika itu, aku sering diajak olehnya untuk pergi membeli-belah setiap hujung minggu. Setiap kali keluar dengannya, apa sahaja yang aku mahu beli dia pasti akan bayarkan untuk aku. Aku berasa sangat berhutang budi dengannya kerana dia selalu menolong aku dan sentiasa ada ketika aku susah. Setelah tamat pengajian aku di universiti, Amalin telah mengajak aku untuk bekerja dengannya. Kerana inginnya aku membalas jasanya dan kesukaran pada masa ini untuk mendapatkan pekerjaan setelah tamat pengajian.
Tanpa menanyakan lebih jelas tentang pekerjaan itu, aku terus bersetuju untuk bekerja dengannya setelah diperlawa. Kawan merupakan seorang yang penting dalam hidup aku dan juga kehidupan orang lain selain daripada keluarga. Kehadiran seorang kawan rapat dalam hidup aku sebenarnya sedikit sebanyak mencorakkan kehidupan aku. Siapa kawan yang dipilih dalam kehidupan kadangkala mempengaruhi diri aku dan juga diri orang lain.
Aku sering mendengar daripada para ulama yang selalu berpesan, jika ingin berkawan perlulah memilih kawan yang boleh memimpin kita ke jalan Allah SWT. Ini boleh diibaratkan jika kita berkawan dengan si penjual minyak wangi, bau wanginya itu juga akan melekat pada kita. Namun, jika kita berkawan dengan si tukang besi, percikkan api dan bau asap juga akan melekat pada kita. Begitulah dengan aku, kerana salah memilih kawan, aku terjebak dengan budaya negatif seperti menagih dadah, minum arak dan menjadi seorang pelacur.
Ketika hari pertama aku masuk kerja, aku dibawa oleh kawanku ke pejabatnya untuk diperkenalkan kepada semua pekerja-pekerja di situ. Semasa dalam pejabat itu, aku melihat tiada seorang pun perempuan yang memakai tudung dan kesemua pekerja-pekerja perempuan memakai pakaian seksi yang terdedah badan mereka. Aku berada hairan dan pelik melihat situasi itu. Amalin memberitahu aku bahawa di dalam pejabat ini terdapat peraturan yang wajib dipatuhi iaitu ketika masuk ke pejabat ini semua pekerja wanita perlu memakai pakaian yang telah ditetapkan.
Aku terkejut mendengar apa yang dikatakan oleh kawanku itu. Aku menolak untuk bekerja di tempat ini, namun Amalin cuba untuk memujuk aku supaya bekerja di tempat ini. Amalin bertanya kepadaku, “Sarah, kenapa ni? Sebelum ni awak cakap dekat saya awak nak kerja dengan saya. Kenapa awak ubah fikiran pula?” Aku memberitahu Amalin, “saya bukan tak nak bekerja dengan awak, tapi awak tahukan saya tak biasa dan tak pernah pakai pakaian seksi macam tu.”
Amalin memberitahu aku lagi supaya tidak perlu risau, kerana memakai pakaian seperti itu hanyalah di dalam pejabat ini saja. Bila keluar dari pejabat ini aku boleh memakai pakaian yang sopan semula. “Rugilah awak kalau tak nak bekerja dekat sini. Semua pekerja dekat sini akan diberi rumah, kereta dan akan dapat gaji yang tinggi tau. Awak dah tak perlu risau untuk cari rumah sewa, nak cari kereta baru ke apa. Semua akan disediakan.” Kata Amalin kepada aku untuk memujuk aku.
Setelah itu, aku menerima untuk bekerja disini. Permulaan untuk pekerjaan ini, aku diarahkan untuk bekerja di dalam pejabat sahaja selama sebulan supaya aku dapat menyesuaikan diri dengan memakai pakaian seksi. Selepas sebulan bekerja di situ, bermulalah aku sebagai penjual dadah dan menjadi pelacur yang konon bekerja sebagai model produk kecantikan. Aku begitu tidak menyangka, kawan yang aku jadikan sebagai contoh dan idola selama ini dengan kelakuannya yang ayu, sopan dan selalu menasihati aku supaya sentiasa ingat kepada Tuhan ini rupa-rupanya manusia yang bertopengkan syaitan.
Pada awalnya, aku berasa takut dengan perbuatan ini. Tetapi apabila kawan aku memujukku untuk mencuba melakukan pekerjaan itu, lama kelamaannya aku sudah terbiasa membuat semua kerja itu. Aku merupakan anak yang berasal daripada keluarga yang susah. Aku telah berjanji untuk mengubah hidup keluarga aku dan aku telah memberitahu ibu dan ayahku bahawa aku akan berusaha bersungguh-sungguh untuk membantu mereka.
Apabila aku meningkat dewasa dan bekerja, aku telah berjaya mengubah hidupku dan juga keluargaku ini. Aku menjadi anak yang dibangga-banggakan oleh orang tuaku dan disayangi oleh keluargaku. Aku sering bertanya khabar terhadap keluargaku dan sering memberikan wang yang banyak setiap bulan kepada mereka. Aku boleh memberi segala-galanya untuk keluargaku. Namun, pekerjaan dan wang yang aku berikan kepada ahli keluargaku itu bukan dari sumber yang halal.
Semua itu hasil daripada pekerjaan aku sebagai pengedar dadah dan juga pelacur. Aku membohongi keluargaku bahawa pekerjaan aku adalah seorang ahli perniagaan yang menghasilkan produk kecantikan. Dalam diam aku telah menderhakai kedua ibu bapaku kerana tidak berlaku jujur kepada mereka. Di sebalik produk kecantikan itu, terdapat dadah seperti ganja, pil kuda dan sebagainya. Selain menjadi ahli perniagaan, aku juga memberitahu ibu dan ayahku bahawa aku bekerja sebagai model produk tersebut.
Semua itu hanya tipu belaka, menjadi model itu sebenarnya menjadi pelacur kepada pelanggan-pelanggan yang membeli produk yang mengandungi dadah. Walaupun aku mengetahui pekerjaan yang aku lakukan ini, aku tetap mahu meneruskan pekerjaan ini hanya kerana untuk mendapat keuntungan yang pantas dan cepat. Pekerjaan itu halal atau haram aku sudah tidak pandang itu semua. Apa yang penting bagi aku ketika itu adalah mendapatkan wang yang banyak.
Fikiran aku mula ditutupi oleh kekayaan dunia semata-mata. Aku yang dulunya seorang yang lemah lembut dan sentiasa taat perintah Tuhan, lama-kelamaan aku semakin terpesong dan lalai dengan hal duniawi. Semakin hari semakin ramai orang yang berjaya, berpendidikan tinggi dan mempunyai banyak harta. Kerana inginkan kekayaan yang segera aku sanggup melakukan pekerjaan yang hina dan dilarang oleh Tuhanku dan agamaku.
Aku sibuk mengejar kekayaan dan harta di dunia sehingga aku lupa untuk mengejar kekayaan dan harta untuk di hari akhirat kelak. Semakin kaya seseorang itu semakin banyak meninggalkan perintah Allah SWT. Begitulah dengan aku, semakin banyak duit yang aku dapat semakin sombong aku dengan Tuhan. Kerana lemahnya iman di dada, begitu mudah syaitan menghasut aku melakukan perkara yang dimurkai oleh Allah SWT.
Sehari sebelum berangkat aku ke sebuah pulau bersama rakan-rakan. Aku telah pulang ke kampung untuk menjenguk keluargaku. Ibu dan ayah sangat gembira dengan kepulangan aku ke rumah itu. Aku boleh dikatakan sebagai seorang munafik dimana ketika balik ke kampung halaman, aku memakai pakaian yang menutup aurat, sopan dan ayu saja, tetapi apabila aku berada jauh daripada kedua orang tuaku, aku memakai pakaian yang begitu seksi sehingga membuatkan ramai yang tertarik pada aku.
Pada malam itu, aku hampir kantoi dengan ibuku tentang pekerjaan yang aku lakukan selama ini. Ibuku memasuki ke kamarku dan melihat aku yang sedang memasukkan pakaianku ke dalam beg. Ketika itu aku memakai pakaian yang sedikit terdedah bahu dan leherku. Aku lupa untuk menutupi luka-luka yang ada pada badanku ini sehingga dilihat oleh ibuku. Ibu melihatnya dan bertanya kepadaku, “Sarah, kenapa dengan leher kamu ni?”
Aku dengan segera menutupi leherku ini. Aku berkata, “tak ada apalah ibu, ni kena gigit dekat nyamuk je.” Ibu cuba untuk tengok leherku ini namun aku tidak mengizinkannya. Dengan tindakan aku ini membuatkan ibu bertanya kepadaku tentang pekerjaan yang aku lakukan di bandar itu. “Sarah, kamu sebenarnya kerja apa dekat bandar? Ibu rasa ada sesuatu yang tak kena dengan kamu.” Sarah berkata kepada ibunya,“apa yang ibu cakapkan ni. Kan Sarah dah cakap yang Sarah buat bussiness dengan kawan sarah jual produk kecantikan. Selain tu kan Sarah juga kerja sebagai model produk itu.”
“Ibu tahu kamu ada buat bussiness dengan kawan kamu dan kamu juga jadi model produk tu. Tapi selama kamu kerja kat situ, ibu tak pernah tengok atau dengar jenama produk kamu ni. Ibu pun tak pernah tengok muka kamu dekat majalah, televisyen atau mana-mana media sosial pun.” kata ibunya.“Kamu tak pernah tipu ibu dan ayah kan?” Tanya ibu kepada aku. Aku mula gelisah apabila ibu mulai curiga dengan aku. Aku menyakinkan ibuku bahawa aku tidak pernah membohonginya. Selepas itu ibu hanya mendiamkan diri dan tidak berkata apa-apa.
Suatu hari, aku pergi bersama kawan-kawanku ke sebuah pulau dan bermalam di atas kapal. Di atas kapal itu hanya aku dan Amalin sahaja perempuan, lima orang lagi lelaki. Di atas kapal itu, kami mengadakan parti seks bebas di atas kapal, tiba-tiba angin yang kencang menghampiri kapal kami. Allah telah mendatangkan bala yang besar kepada kami semasa berada di atas kapal tersebut. Ketika itu kami semua tidak dapat buat apa-apa untuk mengawal kapal ini daripada dipukul oleh angin dan ombak yang kuat sehingga kapal ini akhirnya telah dipukul oleh ombak dengan kuat sehingga terlanggar sebuah batu yang besar dan membuatkan kapal ini terbakar, meletup serta berkecai. Ini dapat dilihat pada firman Allah SWT yang bermaksud:
“Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!”(Surah Al-Zalzalah, ayat 7-8).
Allah SWT menyatakan bahawa Dia tidak akan mengurangi sedikit pun pahala amalan seseorang walaupun seberat zarah,bahkan perbuatan yang baik akan ditambahkan pahala buat seseorang itu. Akan tetapi, orang yang berbuat dosa akan diberikan hukuman yang setimpal sama ada diberikan hukuman secara terus di dunia ataupun hukuman di akhirat kelak. Allah SWT telah memberi hukuman yang setimpal dengan perbuatan yang telah dilakukan oleh aku dan juga kawan-kawanku.
Setelah itu aku tidak sedarkan diri. Aku berfikir bahawa aku telah mati. Namun, apabila aku tersedar, aku mendapati bahawa aku telahpun berada dihospital. Ibu dan ayahku berada di tepi katilku sambil membacakan surah yassin untukku. Aku menangis melihat mereka, perkataan yang keluar daripada mulutku adalah, “ibu, ayah, maafkan saya.” Ibu dan ayah menangis gembira setelah melihat aku tersedar daripada koma. Ayahku membuat sujud syukur kerana Allah SWT telah menghidupkan aku kembali setelah hampir lima tahun aku tidak sedarkan diri.
Aku bertanyakan kepada ibu dan ayahku, bagaimana aku boleh selamat daripada letupan kapal itu. Selepas itu, aku juga bertanya tentang keadaan kawan-kawanku sekarang ini. Dimanakah kawan-kawanku berada dan adakah mereka juga selamat. Ayahku memberitahu aku bahawa hanya aku yang terselamat daripada letupan kapal itu. Aku telah ditemui oleh seorang nelayan di pinggir laut dalam keadaan tidak berbaju. Jasad kawan-kawanku sehingga hari ini masih belum dijumpai.
Aku yang mendengarnya seperti tidak percaya bahawa hanya aku yang Allah selamatkan. Aku dan kawan-kawanku sama saja, kami melakukan dosa yang besar ketika itu. Selepas itu, aku menangis dan menceritakan segal-galanya kepada ibu dan ayahku hal sebenar yang terjadi. Aku berasa malu dan berdosa kepada ibu dan ayahku kerana tidak berlaku jujur kepada mereka tentang pekerjaan aku selama ini dan menipu mereka bahawa aku pergi ke pulau atas urusan pekerjaan. Sedangkan aku pergi untuk berfoya-foya.
Ibu dan ayah berasa kecewa dengan perbuatan aku dan mereka merasakan bahawa mereka tidak pandai mendidik dan menjaga anak perempuannya ke jalan yang benar. Beribu-ribu sesalan yang dirasakan oleh aku ini. Walaupun banyak kesalahan yang telah aku lakukan kepada ibu dan ayahku, namun mereka tetap menerima aku sebagai anaknya dan tidak pernah wujud pun perasaan benci terhadap aku. Aku bersyukur kerana masih diberi peluang untuk menembus segala kesalahan yang dilakukan sebelumnya.
Aku amat bersyukur kerana Tuhan tidak mengambil nyawaku ketika sedang bermaksiat. Peristiwa yang terjadi itu telah membuatkan aku untuk bertaubat dan kembali ke jalan yang benar. Sungguh aku sesali dengan perbuatan aku sebelum ini. Seseorang yang tidak mematuhi arahan Tuhannya serta tidak pernah mengharapkan perlindungan daripadaNya, mereka akan sesat. Aku tidak mahu bergelar sebagai orang islam hanya di dalam kad pengenalan sahaja.
Sesungguhnya hidayah yang diberikan ini merupakan cahaya yang indah buat aku. Hidayah itu milik Allah SWT. Dia berhak untuk memberi kepada sesiapa sahaja hidayah itu. Sesungguhya seseorang yang melakukan kejahatan itu selamanya dan tidak semestinya dibenci oleh Tuhan yang Maha Agung. Dengan solat taubat nasuha ini, aku berjanji untuk tidak melakukan perbuatan yang terkutuk itu lagi. Itulah lumrah hidup seorang hamba Allah SWT yang hidup di muka bumi ini yang penuh dengan pelbagai dugaan atau ujian.