Cameroon Bangkit Ikat Serbia

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

AL WAKRAH, Qatar –  Pemain gantian, Vincent Aboubakar muncul penyelamat Cameroon dengan meledak satu gol menarik dan membantu satu lagi jaringan ketika pasukannya bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat Serbia 3-3 dalam saingan Kumpulan G di sini, sebentar tadi.

Keputusan seri dalam aksi di Stadium Al Janoub itu menghidupkan peluang tipis buat kedua-dua pasukan untuk meneruskan persaingan di Piala Dunia 2022.

Pemain Serbia, Strahinja Pavlovic dan Sergej Milinkovic-Savic menjaringkan gol pada masa kecederaan babak pertama dan Aleksandar Mitrovic menyumbang gol selepas rehat untuk memadam gol pembukaan Cameroon yang dihasilkan Jean-Charles Castelletto.

Aboubakar dimasukkan pada minit ke-55 dan merapatkan kedudukan buat Cameroon dengan melakukan sepakan lambung menarik untuk memerangkap penjaga gol pada minit ke-63 sebelum dia membantu Eric Maxim Choupo-Moting meledak gol penyamaan tiga minit kemudian.

Keputusan seri menamatkan rentetan lapan kekalahan berturut-turut di kejohanan Piala Dunia buat pasukan Afrika itu.

Kedua-dua pasukan itu mengumpul satu mata dan perlu memenangi perlawanan terakhir Kumpulan G untuk mengekalkan peluang mara ke peringkat kalah mati, dengan Cameroon akan berdepan Brazil, Sabtu ini manakala Serbia menentang Switzerland.

Sumber : BERITA HARIAN