Sesungguhnya Allah SWT itu maha pemurah. Allah menyediakan keberkatan untuk hamba-hambaNya yang soleh dan solehah.
Umat Islam perlu berusaha untuk mendapatkan keberkatan itu sama ada dengan berdoa memohon kepada Allah secara langsung, melaksanakan amalan baik tertentu atau dengan meraih keberkatan yang Allah letakkan kepada makhluk-Nya (bertabarruk).
Dalil keberkatan Masjid al-Haram seperti firman Allah SWT: “Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Allah) ialah Baitullah yang ada di Makkah yang diberkati dan dijadikan petunjuk hidayah bagi umat manusia.” (Surah Al-Imran: 96)
Makkah merupakan kota suci yang diberkati oleh Allah. Oleh itu, Nabi telah memohon kepada Allah agar memberkati juga kota Madinah. Sebuah lagi kota suci Islam yang turut diberkati Allah ialah Baitul Maqdis.
Nabi SAW menggalakkan umatnya supaya mendapatkan keberkatan di ketiga-tiga masjid suci ini sehingga baginda bersabda: “Tidak boleh bersusah payah melakukan perjalanan (untuk berziarah dan beribadah) kecuali ke tiga masjid iaitu Masjid al-Haram, masjidku ini dan Masjid al-Aqsa.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Allah juga meletakkan keberkatan pada air hujan. Nabi SAW turut mengajarkan kepada kita cara untuk mendapatkan keberkatan hujan. Rasulullah SAW turut mendapatkan keberkatan Allah (bertabarruk) melalui hujan yang dikatakan baru sahaja diciptakan oleh-Nya.
Baginda SAW juga sering mengutuskan seseorang ke tempat wuduk golongan Muslimin, lalu apabila dibawakan airnya baginda akan meminumnya kerana mengharapkan keberkatan tangan kaum Muslimin. (Riwayat at-Tabarani, Abu Nu’aim dan al-Baihaqi dengan sanad hasan)
Dalam kalangan umat Islam, mendapatkan keberkatan daripada guru yang alim atau soleh bukan bermakna guru itu yang memberikan berkat. Namun, keberkatan ilmu yang ada dalam dirinya iaitu ilmu al-Quran dan hadis.
Oleh itu, mendapatkan berkat guru hakikatnya mengambil melalui sangkaan baik terhadapnya keberkatan yang Allah SWT berikan kepadanya. Hanya Allah SWT sahaja yang mempunyai kuasa untuk memberikan keberkatan sama ada secara langsung atau melalui perantara seperti Masjid al-Haram, Masjid Nabawi, hujan dan sebagainya.
Pada hakikatnya, bertabarruk adalah suatu usaha untuk mendapatkan keberkatan daripada Allah SWT jua.
Sumber: HARIAN METRO