Perkahwinan merupakan sunah yang sangat dianjurkan oleh Nabi SAW. Namun, antara perkara paling penting dalam perkahwinan, selain persefahaman dan tolak ansur ialah penekanan aspek agama. Perkara ini dinyatakan oleh Nabi SAW sejak awal sebelum seseorang lelaki itu memeterai ikatan perkahwinan lagi.
Seseorang perempuan juga berhak untuk memastikan bakal suaminya mempunyai pegangan agama yang baik. Mengutamakan agama dalam membina institusi keluarga adalah perkara paling besar yang amat perlu diberikan perhatian.
Dengan agama, suami isteri mengetahui batas hukum syarak yang wajib diketahui. Kunci kebahagian bukan hanya terletak pada kebijaksanaan suami. Namun ianya juga terletak pada ketaatan isteri. Isteri yang taat bakal memperolehi ganjaran yang besar di akhirat iaitu dijanjikan syurga sepertimana hadis Ummu Salamah RA katanya:
Sabda Rasulullah SAW: “Mana-mana isteri yang mati sedangkan suaminya reda terhadapnya, dia akan masuk ke syurga.” Riwayat at-Tirmizi, katanya: Hadis Hasan
Seorang isteri wajib mentaati suaminya selama mana ianya tidak menyuruh si isteri melakukan perkara mungkar dan maksiat.
Daripada Imran bin Husain RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Tiada ketaatan terhadap satu makhluk pun dalam menderhakai al-Khaliq (Yang Maha Pencipta).” Riwayat Ahmad dan al-Tabarani dengan sanad sahih
Oleh itu, setiap pasangan suami isteri perlu membuat persedian agama yang secukupnya supaya mereka mengetahui batas syarak dan tidak melampauinya. Misalnya, persoalan menjaga aurat dan tidak mendedahkannya kepada khalayak ramai.
Nabi SAW telah menyebutkan dalam khutbah terakhir baginda ketika Haji Wada’. Daripada Amru bin al-Ahwas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Ketahuilah, hendaklah kamu sekalian mempergauli isteri dengan baik. Sesungguhnya mereka hanyalah dikehendaki tunduk di sisi kamu sekalian. Sedangkan kamu sekalian tidak memiliki hak apa pun terhadap mereka selain ketundukan itu kecuali jika mereka melakukan perkara keji (dosa) yang jelas.
“Jika benar mereka melakukannya maka pisahkanlah mereka daripada tempat tidur dan pukullah mereka dengan pukulan yang tidak meninggalkan bekas. Jika mereka mentaatimu maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka.
“Ketahuilah, sesungguhnya kamu sekalian mempunyai hak ke atas isteri kalian dan isteri kamu juga mempunyai hak ke atas kalian. Adapun hak kamu sekalian ke atas isteri kalian ialah mereka tidak boleh menghamparkan alas tidur (yakni menjemput untuk bermalam) terhadap orang yang kamu sekalian benci dan juga tidak boleh mengizinkan orang yang kamu benci memasuki rumah kalian.
“Adapun hak mereka ke atas kamu sekalian pula ialah kamu memberikan pakaian dan makanan yang baik kepada mereka.” Riwayat at-Tirmizi, katanya: Hadis hasan sahih
Nabi SAW telah menjelaskan hak suami isteri yang wajib diketahui dan dijaga oleh mereka. Suami sebagai pemimpin keluarga perlulah bijak memainkan peranan. Nabi SAW sangat memuji suami yang mempunyai sifat sabar, baik dan bertimbang rasa terhadap isterinya.
Carilah keredhaan Allah SWT dalam perkahwinan yang dibina. Janganlah sekadar mencari keredaan manusia tanpa peduli dengan tindakan yang boleh menyebabkan kemurkaan-Nya.
Sumber: HARIAN METRO