Carvalho Wira Liverpool di Anfield

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

LIVERPOOL – Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp memuji ketenangan skuadnya selepas mereka menjaringkan gol pada saat akhir untuk kemenangan 2-1 ke atas Newcastle United di Anfield.

Selepas meledak sembilan gol ke atas Bournemouth hujung minggu lalu, Liverpool bergelut memburu tiga mata sehingga pemain gantian, Fabio Carvalho meledak gol kemenangan pada minit kelapan masa kecederaan.

“Ia terasa seperti ini adalah cara terbaik untuk memenangi perlawanan bola sepak – secara jujurnya, saya tidak mahukannya setiap minggu, tetapi jika anda dapat melakukannya sekali atau dua, ia amat baik.

“Saya beritahu pemain-pemain ketika rehat, walaupun sebelum ketinggalan 1-0, kita kelihatan terdesak dalam situasi di mana kami tidak bermain hantaran tambahan. Apabila melakukannya, kami terus kelihatan berbahaya.

“Kami terpaksa mengekalkan ketenangan dan terus berusaha, dan pada akhirnya ia membuahkan hasil,” kata Klopp.

Klopp turut memuji Carvalho, yang genap berusia 20 tahun Selasa lalu dan bermula cemerlang sejak menyertai mereka dari Fulham pada Mei.

“Dia amat penting buat kami, dan dia memerlukan saat berharga seperti ini. Gol berkenaan amat membantunya,” katanya.

Selepas mendahului menerusi pembelian termahal kelab, Alexander Isak di babak pertama, Newcastle berusaha sebaik mungkin untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata.

Bagaimanapun Roberto Firmino kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-61 sebelum jaringan kemenangan Carvalho pada minit ke-98.

Sumber : BERITA HARIAN