Cawangan Mydin Tunjong di Kelantan Sasar Jualan Lebih RM15 Juta Sebulan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU – Rangkaian pemborong dan peruncit halal, Mydin Mohamed Holdings Bhd (MYDIN) menyasarkan hasil jualan di cawangan baharunya di Mydin Tunjong di sini melebihi RM15 juta sebulan selain menyediakan 400 peluang perniagaan kepada penduduk tempatan.

Pengarah Urusan Datuk Ameer Ali Mydin berkata, pembukaan cawangan ke-67 hari ini, ia dapat menawarkan lebih 1,000 peluang pekerjaan khususnya kepada penduduk di negeri itu serta membantu peniaga dan masyarakat mendapatkan barangan dengan harga borong yang berpatutan.

Disebalik kemelut ekonomi tidak menentu ekoran pandemik Covid-19, Mydin mengambil langkah berani untuk membantu ‘Keluarga Malaysia’ dengan menawarkan pelbagai peluang pekerjaan dan perniagaan.

“Dengan pembukaan cawangan ini, ekonomi penduduk setempat dan negeri dijangka menerima impak positif terutamanya apabila negara telah membuka sektor ekonomi sepenuhnya selepas melalui tempoh panjang Pelan Pemulihan Negara akibat pandemik Covid-19.”

“Pasar raya tiga tingkat ini berkeluasan hampir satu juta kaki persegi dan menelan kos hampir RM250 juta,” katanya.

Amer Ali berkata, antara keunikan Mydin Tunjong adalah ia mengetengahkan hasil-hasil produk keluaran usahawan tempatan seperti pakaian, makanan, hasil kraf tangan dan sebagainya selain pembeli berpeluang mendapatkan barangan dengan harga borong dan kompetitif.

Sumber: BERNAMA