Ceroboh Hutan, Tanam Durian Musang King

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – Pintu pagar elektrik terpaksa dipecah untuk masuk ke kawasan tanaman durian Musang King yang ditanam secara haram dalam hutan di Sungai Lembing, di sini, semalam.

Operasi Penguatkuasaan Bersepadu dilakukan di Kampung Kolong Pahat dan Kampung Seberang, Sungai Lembing bermula 10 pagi berjaya memusnahkan lebih 200 pokok durian Musang King berusia antara empat hingga lima tahun.

Pegawai Hutan Daerah Kuantan, Pekan dan Maran, Norshazlee Roslee berkata, seramai 110 anggota penguat kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Pejabat Daerah dan Tanah Kuantan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang dan Unit Penguat kuasa Negeri Pahang (UPNP) menyertai operasi berkenaan.

Menurutnya, pihaknya terpaksa memusnahkan lebih 200 pokok durian Musang King yang ditanam secara haram oleh pihak tidak bertanggungjawab di kawasan hutan milik kerajaan.

Katanya, pemantauan dilakukan mendapati kawasan berbukit seluas lebih lapan hektar itu diceroboh, namun aktiviti pertanian secara berteres hanya dilakukan dalam kawasan kira-kira satu hektar membabitkan tanaman durian Musang King dan pisang serta beberapa jenis tanaman lain.

“Lebih 2,500 pokok durian Musang King berusia satu hingga dua tahun yang terdapat di dalam kawasan berkenaan akan turut dimusnahkan secara berperingkat tidak lama lagi.

“Kita juga akan musnahkan rumah kongsi dan rumah kuasa solar yang terdapat di kawasan hutan milik kerajaan,” katanya, di sini semalam.

Turut sama memantau hari pertama operasi berkenaan Pegawai Daerah Kuantan, Tengku Datuk Nor Asmaliza Ku Lah.

Sumber: HARIAN METRO