Chelsea Juara Piala Dunia Kelab

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

ABU DHABI – Kai Havertz meledak penalti pada tambahan masa ketika Chelsea menewaskan kelab Brazil, Palmeiras 2-1 pada final Piala Dunia Kelab sebentar tadi untuk melengkapkan koleksi trofi utama mereka.

Tandukan menakjubkan Romelu Lukaku memberikan juara Eropah itu kelebihan pada minit ke-54 tetapi Raphael Veiga menyamakan kedudukan hasil penalti buat juara Copa Libertadores itu selepas sejam perlawanan di Abu Dhabi.

Havertz, hero final Liga Juara-Juara ketika berdepan Manchester City, sekali lagi menjaringkan gol kemenangan Chelsea apabila dia menyempurnakan penalti pada minit ke-117 selepas diberikan penalti berikutan rakaman VAR.

“Ia menakjubkan. Selepas juara Eropah, kami kini juara dunia. Bunyinya lebih baik,” kata Havertz kepada Channel 4.

“Ia sesuatu yang membimbangkan (mengambil penalti), saya perlu berlaku jujur. Ia penalti yang besar. Ia gila. Adalah bagus berjaya menahan rasa gementar. Saya sangat gembira.”

“Saya sentiasa mengimpikan ini ketika kecil. Ia perasaan yang menakjubkan buat saya,” katanya.

Chelsea kini meraih semua trofi utama sejak Roman Abramovich membeli kelab itu pada 2003 dan menjadi kelab England ketiga menang kejohanan global itu selepas Manchester United dan Liverpool.

Skuad Blues membalas kekalahan 1-0 kepada Corinthians pada final 2012 tetapi mereka hanya ada sedikit masa untuk meraikannya sebelum kembali ke London.

Mereka akan berdepan Lille dalam kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara selain final Piala Liga menentang Liverpool dan pusingan kelima Piala FA, bermain dalam empat kejohanan berbeza dalam tempoh 12 hari.

Sumber: BERITA HARIAN