LONDON – Chelsea akan membuat bidaan keempat untuk pemain tengah Brighton, Moses Caicedo yang dijangka mencecah 90 juta pound (RM521.12 juta).
Pengendali Chelsea, Mauricio Pochettino mahu mendapatkan pemain Ecuador itu, tetapi Brighton meletakkan harga 100 juta pound (RM579.02 juta) dan mahu Caicedo, 21, kekal di Amex.
Bagaimanapun kedua-dua kelab itu bersetuju untuk perpindahan penjaga gol Sepanyol, Robert Sanchez ke Stamford Bridge pada harga 25 juta pound (RM144.76 juta).
The Blues yakin hubungan baik itu akan membantu mereka untuk mendapatkan Caicedo selepas tiga bidaan sebelum ini tidak berjaya.
Pochettino melihat Caicedo sebagai gandingan terbaik di bahagian tengah dengan pemenang Piala Dunia bersama Argentina, Enzo Fernandez.
Selain Caicedo, Pochettino turut mensasarkan pemain 19 tahun Southampton, Romeo Lavia yang juga berada dalam radar Liverpool.
Chelsea dan Arsenal mula memantau Caicedo pada Januari selepas pemain itu menyatakan hasratnya untuk berpindah.
Kemudian bulan lalu dia mengatakan yang dia tidak dapat menolak peluang untuk menyertai Chelsea.
Bagaimanapun Brighton dilaporkan turut menerima tawaran daripada kelab misteri serta kelab dari Arab Saudi yang membuat bidaan lebih tinggi berbanding Chelsea.
– BERITA HARIAN