KUALA LUMPUR – Sekalipun Selangor FC (SFC) ‘bernafsu’ untuk bermain secara menyerang, pengendalinya, Tan Cheng Hoe tetap mengingatkan anak buahnya khususnya di barisan pertahanan supaya tidak ‘terdedah’ dengan serangan balas pantas Negeri Sembilan FC (NSFC).
Ini berikutan pengendali ‘The Red Giants’ itu mengakui skuad Jang memiliki jentera serangan ‘sepantas kilat’ sekali gus menyaksikan barisan pemainnya boleh dihukum seandainya tidak berwaspada dengan corak permainan lawan apabila melayan kunjungan lawan pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam esok.
“Corak permainan kita adalah lebih menyerang tetapi kita juga perlu berjaga-jaga apabila kita menyerang. Kita tahu kekuatan NSFC menerusi serangan balas pantas mereka dengan pemain yang laju seperti Matheus Alves, Gustavo serta beberapa pemain lain.
“Selain itu, kita juga perlu elakkan daripada memberikan sepakan percuma di kawasan berbahaya dan sepakan sudut. Ini juga antara kekuatan NSFC dan kita mahu mendapatkan keputusan positif dan tidak mahu dibolosi pada perlawanan di tempat sendiri,” kata Cheng Hoe.
Sebagai rekod, benteng pertahanan SFC belum lagi ‘bocor’ dalam dua aksi pertama Piala Malaysia setakat ini selepas mereka meraih kemenangan 2-0 dan 1-0 ke atas pasukan Liga Perdana, Kelantan United.
Dalam masa sama, bekas jurulatih skuad kebangsaan itu menegaskan di sebalik status pasukan yang gah dengan 33 kejuaraan Piala Malaysia, mereka turun pada aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam ini sebagai ‘underdog’.
“Kita tahu NSFC berada pada tahap yang terbaik hasil momentum dalam perlawanan terakhir. Jadi kita adalah pasukan bukan pilihan untuk berdepan pasukan yang lebih kuat daripada kita.
“Tetapi kita akan berusaha keras bagi mendapatkan keputusan yang baik untuk keyakinan sebelum mengharungi aksi kedua di tempat lawan nanti,” katanya.
Sumber : BERITA HARIAN