China Bakal Kenakan Hukuman Penjara Lebih Lama Ke Atas Etnik Uighur

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

BEIJING, 13 Rejab 1442 H, Khamis : China meningkatkan pendakwaan terhadap minoriti Muslim di Xinjiang melalui sistem mahkamah dengan menjatuhkan hukuman penjara lebih lama bagi tuduhan meragukan seperti terbabit dalam pergaduhan dan memberi hadiah kepada keluarga di luar negara, kata kumpulan hak asasi, hari ini.

Sabitan bagi kesalahan itu adalah tambahan kepada penahanan sekitar satu juta etnik Uighur dan minoriti Muslim terutama di kem “pendidikan politik” di Xinjiang.

Menurut Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia (HRW), lebih 250,000 penduduk di wilayah barat laut China itu di penjara sejak 2016.

“Kebanyakan yang dipenjarakan adalah orang biasa yang menjalani kehidupan harian dengan mengamalkan ajaran agama mereka,” kata penyelidik HRW, Maya Wang dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) turut menggambarkan tindakan China itu sebagai genosid atau jenayah kemanusiaan.

Ahli Parlimen Kanada yang turut berkongsi pendirian sama semalam turut meluluskan usul yang menyifatkan perlakuan China terhadap minoriti Uighur sebagai ‘pembunuhan beramai-ramai’.

HRW berkata, hukuman jenayah di rantau ini meningkat antara 2017 dan 2019 berikutan tindakan keras terhadap etnik Uighur dan minoriti Islam yang lain.

Mahkamah Xinjiang menjatuhkan hukuman ke atas hampir 100,000 penduduk pada 2017 dan angka itu meningkat berbanding kurang 40,000 orang pada 2016, kata HRW yang memaklumkan maklumat itu diambil daripada sumber kerajaan.

Menurutnya, polis, pendakwa raya dan mahkamah diberikan tekanan supaya menjatuhkan hukuman segera dan berat atas alasan melakukan keganasan.

Ini mengakibatkan ramai penduduk yang dipenjarakan tanpa kesalahan yang munasabah.

Sebelum ini, Beijing menafikan wujudnya kem tahanan di Xinjiang dengan mempertahankan pusat itu menyediakan latihan vokasional yang diperlukan untuk menentang pelampau agama serta meningkatkan peluang pekerjaan.

Sementara itu, Menteri Luar, Wang Yi pada Isnin, berkata layanan Beijing terhadap etnik minoriti adalah ‘shining example’ (contoh terbaik) kemajuan hak asasi manusia di China. – AFP