China larang siaran BBC World News

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Salah sebuah Masjid di Xinjiang
– Foto Sekadar Hiasan

China melarang BBC World News disiarkan di negaranya atas dakwaan beberapa laporan berita dihasilkan saluran televisyen Britain itu telah melanggar garis panduan penyiaran yang ditetapkan.

Tindakan itu seminggu selepas pengawal selia media Britain membatalkan lesen stesen penyiar, China Global Television Network (CGTN).

Larangan tersebut juga dipercayai berikutan penyiaran laporan BBC berhubung dakwaan penindasan dan penderaan seksual terhadap wanita Uighur.

Pentadbiran Radio dan Televisyen Nasional China dalam satu kenyataan memaklumkan, siasatan mendapati laporan berkaitan republik itu yang disiarkan di BBC World News melanggar peraturan penyiaran secara serius.

Menurut kenyataan itu, ia termasuk siaran laporan berita yang tidak tepat dan adil yang secara tidak langsung telah menjejaskan kepentingan dan perpaduan negara.

“BBC World News tidak memenuhi syarat untuk penyiaran saluran asing di China.

“Justeru, permohonan saluran untuk bersiaran selama setahun lagi tidak akan diterima,” jelas kenyataan itu.

BBC World News dalam versi bahasa Inggeris tidak didapati dalam kebanyakan pakej saluran televisyen di China namun ia terdapat di beberapa hotel dan kediaman.

Dalam pada itu, BBC menerusi satu kenyataan memaklumkan pihaknya kecewa dengan tindakan China.

“Saluran BBC merupakan penyiar berita antarabangsa yang paling dipercayai di dunia dan melaporkan kisah dari seluruh dunia dengan adil, tidak berat sebelah dan tanpa rasa takut atau pilih kasih,” kata seorang jurucakap dari BBC. – AGENSI