GURU yang mendapat kecaman dan dijadikan bahan jenaka oleh segelintir pihak gara-gara cara penyampaian bahasa Inggerisnya di saluran DidikTV, menerima komen negatif yang dilontarkan terhadapnya dengan hati terbuka.
Di sebalik kritikan-kritikan negatif tersebut, Rafidah Rahmat berkata dia tetap berbangga menjadi seorang guru dan bersedia memperbaiki kelemahannya.
“Semoga dipermudahkan segala urusan dan kesulitan yang berlaku buat diriku dan semua rakan muka buku.
“Saya akui kelemahan yang berlaku dan bersedia untuk belajar dan memperbaikinya. Saya bangga jadi guru,” katanya dalam hantaran di Facebook peribadinya.
Dia turut memuat naik satu keratan doa di dalam posting berkenaan.
Posting tersebut dibanjiri dengan ribuan komen netizen yang rata-rata memberi kata-kata positif dan semangat buat dirinya untuk terus mendidik anak bangsa.
Terdahulu, video Rafidah berbahasa Inggeris ketika mengajar subjek Sains untuk pelajar Tahun 2, dijadikan bahan jenaka lantaran cara penyampaian dan sebutannya.
Antaranya, seorang penyampai radio, Yusuf Shukri yang mentertawakannya dan memuat naik konten tersebut di TikTok.
Bagaimanapun, penyampai radio berkenaan sudah membuat permohonan maaf selepas teruk dikecam dan dia kini digantung tugas sementara siasatan dalaman dilakukan pihak syarikatnya.
Sumber: mStar