City Atasi Bayern Di Tokyo

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

TOKYO – Manchester City menewaskan Bayern Munich 2-1 dalam perlawanan kedua daripada tiga aksi persahabatan pra musim di Stadium Nasional Tokyo, hari ini.

City berdepan Bayern dengan motivasi tinggi selepas membuka tirai kempen jelajah musim panas mereka dengan kemenangan 5-3 ke atas Yokohama F-Marinos, Ahad lalu.

Pengurus City, Pep Guardiola menggunakan ‘pasukan’ berbeza pada kedua-dua babak perlawanan ketika berdepan Yokohama dan mengambil pendekatan sama pada pertemuan dengan Bayern apabila melakukan lapan pertukaran pemain selepas separuh masa pertama.

City membuka tirai jaringan menerusi James McAtee yang meledak gol pada minit ke-26 sebelum Mathys Tel menyamakan kedudukan minit ke-81.

Aymeri Laporte muncul wira City apabila menjaringkan gol kemenangan berbaki empat minit sebelum tamat tempoh 90 minit permainan.

Perlawanan itu juga menyaksikan Kyle Walker kekal mengetuai City di sebalik perbincangan yang sedang berlangsung untuk dia berpindah ke Bayern.

Guardiola sebelum ini mengakui biarpun dia sedia berjuang untuk memastikan tonggak pertahanannya itu kekal di Stadium Etihad tetapi dia tidak pasti sama ada Walker akan kekal atau menyertai Bayern sebelum pintu perpindahan pemain ditutup.

City selepas ini akan berlepas ke Seoul, Korea Selatan untuk menentang Atletico Madrid dalam satu lagi aksi persahabatan, hujung minggu ini.

– BERITA HARIAN