LONDON – Liverpool tidak boleh menandingi kekuatan kewangan Manchester City, kata pengurus Juergen Klopp semalam sambil menambah bahawa pencabar utama Liga Perdana itu serta sebahagian lagi kelab “boleh lakukan apa sahaja yang mereka mahu.”
Pasukan tangga kedua, City akan berkunjung ke Liverpool esok dalam perlawanan paling dinantikan dalam Liga Perdana apabila mereka kini 13 mata di depan skuad Klopp yang masih ada satu perlawanan dalam tangan.
Ditanya bagaimana Liverpool boleh mampu setanding skuad kendalian Pep Guardiola, yang menang Liga Perdana buat kali keempat dalam lima musim pada Mei, Klopp membalas tiada siapa mampu.
“Anda mungkin tidak suka jawapannya, dan anda sudah ada jaawapan. Tiada siapa mampu bersaing dengan City dalam perkara itu,” katanya.
“Anda ada pasukan terbaik di dunia dan anda ada penyerang terbaik dalam pasaran. Tidak kira apa harganya, anda hanya buat.
“Saya tahu City pasti tidak menyukainya, tiada siapa akan suka, anda bertanya soalan itu tetapi anda sudah tahu jawapannya. Apa yang Liverpool lakukan? Kami tidak boleh buat seperti mereka. Ia mustahil.”
“Ada tiga kelab dalam bola sepak dunia yang boleh buat apa sahaja dalam aspek kewangan,” kata Klopp.
Dia merujuk kepada kelab dimiliki Emiriah Arab Bersatu, City, pemilikan Arab Saudi terhadap Newcastle United dan Paris St Germain yang dimiliki Qatar.
“Ia bukan satu kesalahan, ia OK, tapi mereka boleh lakukan apa yang mereka mahu. Ia bukan masalah bagi saya, ia memang seperti itu.”
Sumber : BERITA HARIAN