COVID-19: 22,030 Jangkitan Baharu, Majoriti Kategori 1 dan 2

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PUTRAJAYA – Hanya 388 kes kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) dan 215 kes memerlukan bantuan pernafasan daripada keseluruhan 22,030 kes positif baharu COVID-19 yang direkodkan setakat tengah malam tadi.

Jangkitan terbaharu berkenaan menyumbang kepada sejumlah 3,845,601 kes kumulatif di negara ini dan pada masa sama sebanyak 33,872 kes sembuh direkodkan, menjadikan kini sebanyak 3,502,760 atau 91.1 peratus kes sudah pulih daripada jangkitan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata 21,636 daripada kes yang dilaporkan semalam adalah penularan tempatan membabitkan 20,894 warganegara (96.6 peratus) dan 742 bukan warganegara (3.4 peratus), manakala 394 lagi adalah kes import, iaitu 369 rakyat Malaysia dan 25 warga asing.

Daripada 22,030 kes harian semalam, sebanyak 8,616 kes atau 39.11 peratus dalam Kategori 1, 13,188 kes (59.86 peratus) dalam Kategori 2; Kategori 3 (71 kes atau 0.32 peratus); Kategori 4 (61 kes atau 0.28 peratus) dan 94 kes atau 0.43 peratus dalam Kategori 5.

Daripada 226 kes COVID-19 kategori 3, 4, dan 5 yang dilaporkan semalam, sebanyak 52 kes (23.00 peratus) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi; 111 kes (49.12 peratus) sudah menerima dua dos vaksin COVID-19 tetapi belum menerima dos penggalak, manakala 63 kes lagi atau 27.88 peratus sudah menerima dos penggalak.

Selain itu, sebanyak 144 kes (63.72 peratus) membabitkan individu berusia 60 tahun dan ke atas serta 64 kes (28.32 peratus) mempunyai komorbid.

“KKM turut mengesan dua kluster baharu jangkitan COVID-19 semalam, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak6,883 kluster dengan 6,506 kluster sudah ditamatkan dan 377 kluster masih aktif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, nilai kadar kebolehjangkitan (Rt) negara terus menunjukkan penurunan iaitu pada paras 0.96 semalam dengan Sarawak masih mencatatkan nilai Rt 1.21, disusuli Kuala Lumpur dan Terengganu, masing-masing pada paras 1.12.

Negeri Sembilan mencatatkan Rt pada paras 1.07, Perak (1.04), Pulau Pinang (1.03), Putrajaya (1.02), Pahang dan Kedah (1.01), Selangor, Melaka dan Johor (Rt 1.00), Kelantan (0.97), Perlis (0.94), Labuan (0.82) dan Sabah (0.70).

Sumber: BERITA HARIAN