KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 24 kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 setakat tengah malam tadi.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan pandemik itu kini sebanyak 32,099 orang, daripada 2.97 juta kes positif COVID-19 yang dikesan di negara ini.
Menurut data KKM di portal COVIDNOW, sembilan daripada 24 kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID).
Kes kematian dilaporkan itu turut melibatkan sejumlah kes tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa minggu lalu.
Ini berikutan proses pengesahan sama ada pesakit COVID-19 meninggal dunia akibat pandemik tersebut mengambil masa.
Sementara itu, terdapat 122,991 kes aktif COVID-19 di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, 111,323 individu atau 90.5 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah.
Seramai 6,001 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).
Sebanyak 5,512 kes dirawat di hospital dan 75 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).
Kes ICU membabitkan 75 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 80 lagi memerlukan mesin ventilator.
Sumber: AWANI