KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) melaporkan 28 kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 setakat tengah malam tadi.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan pandemik itu kepada 31,560 orang daripada 2.75 juta kes positif COVID-19 yang dikesan di negara ini.
Menurut data KKM di portal COVIDNOW, empat daripada 28 kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID).
Kes kematian dilaporkan itu turut melibatkan sejumlah kes tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa minggu lalu.
Ini berikutan proses pengesahan sama ada pesakit COVID-19 meninggal dunia akibat pandemik tersebut mengambil masa.
Sementara itu, terdapat 39,733 kes aktif COVID-19 di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, 32,549 individu atau 81.9 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah.
Seramai 3,565 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).
Sebanyak 3,354 kes dirawat di hospital dan 265 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).
Kes ICU membabitkan 118 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 147 lagi memerlukan mesin ventilator.
Sumber: AWANI