KUALA TERENGGANU: Empat pejabat exco negeri Terengganu di Wisma Darul Iman ditutup 14 hari bermula semalam hingga 30 Jan susulan terdapat lima kes positif Covid-19 di bangunan pentadbiran kerajaan negeri itu.
Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Dr Nor Azimi Yunus berkata, penutupan itu bagi membolehkan kerja sanitasi dilakukan dalam usaha mengekang penularan wabak tersebut di kawasan berkenaan.
Empat pejabat yang ditutup ialah pejabat pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar; pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan Dakwah dan Penerangan; pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar; serta pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi.
“Penutupan itu perlu dilakukan kerana terdapat lima kes positif Covid-19 dalam kalangan pekerja Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) di Wisma Darul Iman baru-baru ini,” katanya.
Nor Azimi berkata, hasil siasatan mendapati kes positif berkenaan bergaul rapat dengan pekerja di pejabat empat exco tersebut.
Penutupan sementara itu dijalankan di bawah Seksyen 18(1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bagi mengelak perebakan penyakit berjangkit dan membolehkan proses disinfeksi serta sanitasi dijalankan bagi mengelak penularan, katanya.
Sumber: Bernama