Covid-19: Aktiviti pelancongan di Pulau Perhentian ditangguhkan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Setiu: Aktiviti pelancongan di Pulau Perhentian, Besut ditangguhkan buat sementara waktu berikutan penularan kes positif Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu Ariffin Deraman berkata, langkah itu diambil bagi mengawal jangkitan daripada merebak sejak ia mula dikesan, Jumaat lalu.

Katanya, ketika ini, kebanyakan pulau peranginan di Terengganu termasuk Pulau Perhentian tidak menerima kehadiran pelancong memandangkan masih ada pengusaha dan pemain industri yang belum bersedia untuk beroperasi.

“Berdasarkan maklumat, memang tidak dibenarkan orang luar pergi ke Pulau Perhentian dan penduduk di situ juga tidak dibenarkan keluar untuk mengelak penularan Covid-19.

“Aktiviti pelancongan di Pulau Perhentian ditangguhkan dahulu dan kita akan memperketatkan lagi prosedur operasi standard (SOP) di semua pulau peranginan di Terengganu bagi memastikan insiden sama tidak berulang,” katanya ditemui ketika melawat tapak naik taraf jalur lebar 4G di Kampung Payong di sini.

Penularan jangkitan Covid-19 di Pulau Perhentian, Besut menyebabkan lebih 2,000 penduduk di pulau peranginan itu dikenakan sekatan pergerakan sejak Jumaat lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Datuk Dr Kasemani Embong dilapor berkata, ia susulan lebih 70 kes positif dikesan yang disyaki berpunca daripada pergerakan penduduk ke tanah besar.

Sumber: My Metro