COVID-19: Hanya 2 Peratus Daripada Kes Aktif Dirawat Di Hospital

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Hanya kira-kira dua peratus daripada 171,172 kes aktif COVID-19 yang dilaporkan di negara ini setakat ini, menjalani rawatan di hospital.

Data laman COVIDNOW menunjukkan selain 3,423 pesakit yang dirawat di hospital, individu yang dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) pula hanya 385 orang. Sebahagian besar atau 167,130 individu lagi menjalani kuarantin di rumah.

Sementara itu, sebanyak 43 kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 dilaporkan setakat tengah malam tadi, menjadikan jumlah keseluruhan korban wabak berkenaan setakat ini 35,160 orang termasuk 7,425 kematian di luar fasiliti kesihatan (BID).

Selangor dan Perak masing-masing mencatatkan lapan kematian, termasuk dua BID di Perak, diikuti lima kematian termasuk dua kes BID di Sarawak. Empat kematian dilaporkan di Kedah, dua kematian dan dua BID di Kelantan; Pahang dan Negeri Sembilan, masing-masing tiga kematian dan satu kes BID.

Perlis, Johor, Pulau Pinang dan Putrajaya masing-masing merekodkan dua kematian dengan satu daripada dua kematian di Putrajaya membabitkan kes BID.

Setakat tengah malam tadi, kes baharu COVID-19 negara menunjukkan peningkatan iaitu 12,017 berbanding 10,002 jangkitan kelmarin, menjadikan jumlah keseluruhan 4,268,486 kes setakat ini.

Sebanyak 20,431 kes sembuh turut dilaporkan semalam, menyumbang kepada sejumlah 4,062,154 kes pulih daripada jangkitan COVID-19 sejak Januari 2020.

Sumber: BERITA HARIAN