Covid 19: Kelantan ambil kakitangan kesihatan kontrak

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU – Kerajaan negeri Kelantan terpaksa mengambil kakitangan kesihatan kontrak dalam usaha melawan pandemik Covid-19 di negeri ini.

Perkara tersebut disahkan oleh Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr Izani Husin selepas Mesyuarat Penyelarasan Khas Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri di Kota Darulnaim di sini pada Khamis.

“Pengambilan kakitangan kesihatan itu bagi menampung keperluan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) yang ada di Kelantan ketika ini,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini kerajaan negeri pernah menawarkan jawatan itu kepada bekas kakitangan kesihatan yang sudah pencen, namun mereka menolak.

Dr Izani berkata, penolakan itu dibuat atas faktor usia dan risiko (Covid-19).

“Jadi saya bimbang, jika rakyat tidak patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) keadaan akan menjadi lebih parah selepas ini.

“Untuk makluman pengambil kakitangan itu merangkumi doktor, penolong pegawai kesihatan dan jururawat,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang berkata, fasiliti hospital sama ada unit rawatan rapi (ICU) dan PKRC di negeri ini semakin tepu.

Katanya, hal ini berikutan penggunaannya melebihi 80 peratus dan situasi itu menyebabkan Kelantan terpaksa membuat sebuah lagi PKRC bagi menampung keperluan tersebut.

“PKRC yang kelapan bertempat di Gelanggang Seni itu bagi menampung pesakit Covid-19 dan kita jangka boleh beroperasi pada Khamis.

“PKRC Gelanggang Seni akan diletakkan peralatan yang lebih baik serta canggih bagi menempatkan orang yang lebih berisiko.

“Selain itu, kita mahu memberi keselesaan kepada pesakit warga emas berusia lebih 60 tahun,” katanya.

SUMBER: Sinar Harian