COVID-19: Kuala Terengganu dan Dungun kini Zon Merah COVID-19

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU: Jabatan Kesihatan negeri hari ini mengesahkan daerah Kuala Terengganu dan Dungun kini dikategorikan sebagai zon merah COVID-19.

Jabatan itu berkata, daerah Kuala Terengganu mencatatkan 47 kes baharu positif COVID-19, manakala 45 kes direkodkan di Dungun.

Katanya, daerah Besut dikategorikan sebagai zon jingga selepas mencatatkan 25 kes, manakala empat daerah iaitu Setiu, Kuala Nerus, Marang serta Kemaman masih dalam kategori zon kuning dan Hulu Terengganu kekal zon hijau.

“Berdasarkan situasi terkini pandemik COVID-19 dikeluarkan hari ini, sebanyak 27 kes baru direkodkan, menjadikan 197 kes aktif dengan jumlah keseluruhan sebanyak 572 kes dilaporkan di seluruh negeri.

“Semua 197 individu yang disahkan positif berada dalam keadaan stabil dan dirawat di wad biasa dikhaskan untuk pesakit COVID-19.

“Mereka ditempatkan di Hospital Hulu Terengganu (HHT), Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Pesakit COVID-19 berisiko rendah (PKRC) Marang serta di PKRC ILKKM Kuala Terengganu,” kata jabatan itu menerusi hantaran di Facebook, pada Rabu.

Mengulas lanjut, jabatan itu berkata, sebanyak 118 kes import B iaitu rentas negeri direkodkan di negeri ini dalam tempuh tujuh hari sejak Khamis lalu menyebabkan kes itu menghasilkan 59 kes penularan tempatan.

“Bagi membendung penularan tempatan dan menjaga Zon Hijau di negeri ini, individu yang memasuki Terengganu digalakkan hadir ke hospital dan klinik kesihatan berdekatan bagi menjalani proses penilaian risiko.

“Individu yang selesai menjalani ujian saringan di negeri lain diminta menunggu sehingga keputusan ujian diperoleh sebelum membuat perjalanan ke negeri ini,” jelasnya.

Sumber: Berita Harian