Covid-19 lonjak jual beli dalam talian

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Berang: Pandemik Covid-19 menyaksikan transaksi jual beli dalam talian mencatatkan lonjakan ketara sehingga RM2.5 bilion tahun lalu berbanding RM1.7 bilion pada 2019.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata, ia selaras peningkatan jumlah perniagaan dalam talian yang didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sehingga tahun lalu iaitu 489,958 berbanding 243,560 perniagaan dalam talian yang didaftarkan di SSM sehingga 2019.

Beliau berkata, peningkatan ketara pendaftaran perniagaan dalam talian sehingga lebih 240,000 tahun lalu adalah satu perkembangan yang sangat baik berbanding purata peningkatan jumlah pendaftaran perniagaan dalam talian sekitar 40,000 setahun sebelum ini.

“Penularan wabak Covid-19 memberi kesan besar kepada banyak sektor ekonomi terutama sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, namun transaksi dalam talian mencatatkan lonjakan ketara, malah pendaftaran perniagaan dalam talian meningkat sehingga lebih 100 peratus pada tahun lalu.

“Mengikut rekod, aktiviti jual beli dalam talian meningkat sehingga 49 peratus tahun lalu, manakala transaksi e-wallet melonjak sehingga lebih 100 peratus iaitu daripada RM300 juta pada 2020 kepada RM600 juta tahun lalu,” katanya ketika ditemui selepas Program Malaysia Prihatin di Dewan Sivik Ajil di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Saharuddin Mohd Kia.

Beliau berkata, perkembangan itu menunjukkan transaksi jual beli dalam talian semakin menjadi trend dan alternatif baharu buat peniaga serta pembeli ketika negara berdepan cabaran Covid-19 ini.

“Ia juga antara kesan positif Covid-19 yang paling ketara kerana mempercepatkan penerimaan dan penggunaan digitalisasi dalam sektor peruncitan.

“Jual beli dalam talian yang menawarkan harga lebih kompetitif berbanding jual beli secara fizikal juga menjadi antara faktor perniagaan dalam talian semakin menarik perhatian pengguna,” katanya.

Katanya, ramai peniaga terutama daripada sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang memiliki tapak perniagaan secara fizikal semakin beralih kepada platform e-dagang yang terbukti membantu melonjakkan pulangan perniagaan mereka.

Sumber: My Metro