COVID-19: Masjid Muhammadi Kota Bharu diarah tutup dua minggu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU, 16 Mei — Masjid Muhammadi di sini diarah tutup kepada jemaah awam selama dua minggu bermula esok hingga 31 Mei ini selepas didapati berlaku penularan wabak COVID-19 dalam kalangan jemaah masjid itu.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) Zulkifle Ab Rahman berkata arahan itu dibuat atas saranan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Bharu bagi membendung penularan wabak berkenaan. 

“Sehubungan itu MAIK mengambil inisiatif untuk menutup masjid ini kepada jemaah awam selama dua minggu bermula esok,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata sepanjang tempoh itu, hanya 13 petugas masjid yang terdiri daripada imam, bilal, siak dan pengawal keselamatan dibenarkan berjemaah setelah menjalani ujian saringan COVID-19 dan disahkan negatif daripada wabak berkenaan.

Sementara itu, empat surau dan sebuah masjid di daerah Batu Pahat, Johor ditutup berikutan terdapat kes penularan COVID-19 melibatkan ahli jawatankuasa, imam, bilal dan jemaah.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Tosrin Jarvanthi berkata ia melibatkan Surau Al-Ikhwan Pura Kencana yang ditutup bermula 11 Mei hingga esok; Surau An Nur Parit Lintang, Parit Yaani (12 hingga 18 Mei); Surau Al Hidayah Kampung Nibong Darat; Surau Parit Kassan Jegol, Ayer Hitam dan Masjid Al Mustaqim, Kampung Sungai Lurus, Senggarang (14 hingga 20 Mei).

Beliau berkata arahan penutupan bagi tiga lagi surau di daerah sama iaitu Surau Pura Kencana, Sri Gading; Surau Al-Rayyan Taman Puteri Jaya dan Surau Darul Iman, Ayer Hitam, masing-masing ditamatkan pada Rabu, Sabtu dan hari ini.

SUMBER: Bernama