Kerajaan negeri Kelantan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) memperkenalkan gelang hijau pengawasan Covid-19 untuk dipakai oleh individu tertentu yang perlu menjalani pemantauan, berkuat kuasa semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan Dr Izani Husin berkata, gelang hijau itu akan dipakai oleh pegawai termasuk golongan orang kenamaan (VIP) dari zon merah yang bertugas ke negeri ini atas urusan rasmi.
Menurutnya, jika sebelum ini gelang berwarna pink dipakai kepada individu dari zon merah yang masuk ke negeri ini atas tujuan umum untuk pulang ke kampung dan mereka perlu dikuarantin selama 14 hari selepas melakukan ujian saringan Covid-19.
“Namun, bermula semalam kita mula perkenalkan gelang pengawasan berwarna hijau bagi pegawai atau golongan VIP yang masuk ke negeri ini atas tujuan rasmi yang akan dikenakan di sekatan pintu masuk negeri termasuk di lapangan terbang dan empat pintu masuk ke negeri ini. Jika di surat kebenaran merentas negeri adalah bertujuan untuk bermesyuarat, individu berkenaan hanya dibenarkan untuk ke lokasi mesyuarat sahaja dan sebaik selesai gelang itu akan digunting sebelum mereka pulang ke negeri asal dan mereka tidak perlu menjalani kuarantin sekiranya tidak mempunyai simptom”
Pada masa sama, Izani turut meluahkan kebimbangan susulan bermula cuti persekolahan yang diumumkan semalam dan meminta semua masyarakat terutamanya rakyat negeri ini kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Alhamdulillah, setakat ini Kelantan masih tidak melebihi 200 angka kes Covid-19, namun kita khuatir susulan bermula cuti persekolahan, mereka yang berada di asrama, universiti akan pulang dan kebanyakannya dari zon merah. Jadi, kita minta mereka kekal patuh kepada SOP dan menjalani kuarantin selama 14 hari. Sekiranya rakyat mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan termasuk memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal kita boleh memutuskan penularan Covid-19 sehingga 80 peratus”
Sumber : Harian Metro