COVID-19: Peralihan Ke Fasa Endemik Diputuskan Minggu Depan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PUTRAJAYA: Keputusan sama ada negara akan beralih ke fasa endemik COVID-19 akan diputuskan selepas dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata jika perkara itu mendapat kelulusan Jemaah Menteri, beliau akan mengumumkan keputusan terbabit termasuk berkaitan prosedur operasi standard (SOP) baharu.

“Insya-Allah kita akan umumkan selepas saya membawa pembentangan kepada Jemaah Menteri. Bahagian Kesihatan Awam juga memberi saranan untuk kita laksanakan SOP yang boleh dikategorikan sebagai SOP baharu.

“Bagaimanapun, ia akan diumumkan selepas saya bentang kepada Jemaah Menteri minggu depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kesihatan (KKM) di sini, hari ini.

Malaysia menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 2020 akibat penularan pandemik COVID-19 sebelum memasuki Fasa Peralihan Endemik pada 1 April tahun lalu.

Bulan lalu, Dr Zaliha dilaporkan berkata, KKM akan menyemak semula pengisytiharan kawasan tempat jangkitan COVID-19 di Malaysia pada pertengahan bulan ini bagi menilai tahap risiko jangkitannya.

Beliau dilaporkan berkata, langkah itu dibuat bagi membolehkan KKM menilai hala tuju, seterusnya mengambil kira garis panduan dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ditanya mengenai SOP menjelang enam pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi, Ahli Parlimen Segamat itu menjelaskan, SOP yang bakal diumumkan itu juga akan digunapakai ketika pilihan raya kelak.

“SOP untuk PRN akan bergantung kepada SOP baharu nanti. Jadi insya-Allah kita tunggu minggu depan,” katanya.

PRN bakal diadakan di enam negeri tidak lama lagi membabitkan Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah dan Pulau Pinang.

Sumber: BERITA HARIAN