KUANTAN : Pahang telah melaksanakan vaksinasi COVID-19 untuk remaja yang mempunyai penyakit di lima buat hospital utama di negeri ini bermula semalam.
Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, YH Dato’ Dr. Nor Azimi Yunus berkata, lima buah hospital berkenaan adalah di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan; Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh; Hospital Lipis; Hospital Pekan dan Hospital Bentong.
“Bermula 20hb Sepetember pula, program vaksinasi akan diperluaskan kepada semua pelajar berumur 16 dan 17 tahun pula.
“Penyelarasan sedang dibuat bersama pihak Jabatan Pendidikan Negeri Pahang,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, kira-kira 960,126 atau 81.7 peratus penduduk dewasa di Pahang telah menerima suntikan sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19 sehingga Rabu lalu.
Katanya, daripada jumlah itu, seramai 691,258 atau 58.8 peratus telah menerima dua dos suntikan vaksin COVID-19.
YH Dato’ Dr. Nor Azimi Yunus berkata, setakat ini hanya kira-kira 26,048 mereka yang telah berdaftar sedang menunggu disuntik vaksin, Bagaimanapun, masih ada seramai 189,626 atau 16.1 penduduk dewasa yang masih belum berdaftar.
Beliau berkata, berdasarkan bekalan vaksin yang sangat baik, pihaknya menyasarkan pada akhir September nanti, 100 peratus populasi dewasa di negeri akan disuntik satu dos vaksin.
“Namun melihat prestasi sekarang seolah-oleh sasaran itu lambat untuk dicapai. Banyak strategi telah disusun oleh semua daerah bagi merancakkan proses vaksinasi.
“Merata tempat program ‘outreach’ telah dan sedang dilaksanakan. Hampir semua ceruk kampung telah dijejaki, namun kehadiran untuk suntikan dos satu masih tidak mencapai sasaran.
“Peluang dan ruang untuk mendapat suntikan terbuka luas. Sambut lah peluang ini bagi warga Pahang yang masih belum mendapat suntikan supaya sasaran 100 peratus dos satu penduduk dewasa pada akhir September ini tercapai,” katanya.
Sumber: PAHANGMEDIA